DUNIA

RINGGIT STABIL BERBANDING DOLAR AS MENJELANG MESYUARAT FED ESOK

08/12/2025 08:12 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Ringgit kekal kukuh berbanding dolar AS semasa ditutup pada Isnin berikutan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari bermula esok di Amerika Syarikat.

Pada 6 petang, ringgit hampir tidak berubah kepada paras 4.1100/1145 daripada dolar AS berbanding 4.1105/1140 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan bergerak dalam julat kecil antara RM4.1057 hingga RM4.1160 sepanjang hari dagangan memandangkan peniaga dan pelabur menunggu keputusan mesyuarat FOMC pada 10 Disember.

“Penurunan sebanyak 25 mata asas bagi kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) nampaknya adalah perkara yang sudah pasti,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit menunjukkan trend lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4729/4789 daripada 5.4859/4905 semasa ditutup pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.7873/7926 daripada 4.7912/7953 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.6429/6460 daripada 2.6536/6561.

Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1698/1735 daripada 3.1741/1773 semasa ditutup pada Jumaat lepas, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 246.1/246.5 daripada 246.8/247.2 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9006/9204 daripada 12.9054/9221 semalam.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.97/6.98.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan