Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) -- Usaha merancakkan pelaksanaan agenda reformasi MADANI perlu terus berasaskan ketelusan, keberanian dan penglibatan rakyat sebagai rakan kongsi dalam perubahan dasar, kata pakar akademik.
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi berpendapat kesinambungan reformasi dapat dicapai sekiranya pelaksanaan dasar bukan sekadar disusun di atas kertas tetapi turut dipantau dan dinilai secara terbuka melalui mekanisme melibatkan masyarakat.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuk pengenalan Reformasi MADANI Scorecard, pelaksanaan MADANI Feedback Week serta pengembangan projek komuniti seperti Kampung MADANI dan Bandar MADANI yang akan memberi ruang kepada rakyat menyumbang secara langsung dalam pembentukan dasar.
“Reformasi MADANI Scorecard yang dikemas kini secara berkala dengan pemetaan semula program seperti Bakti dan Budi MADANI bukan sekadar program bertema.
“Ia perlu disertakan dengan keberanian mempamerkan data melalui papan pemuka awam dalam bidang paling dirasai rakyat seperti kos sara hidup dan akses bantuan,” katanya kepada Bernama sempena ulang tahun ketiga Kerajaan MADANI.
Zainal Abidin berkata langkah itu akan menjadikan naratif MADANI lebih jujur, telus dan boleh diaudit, seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap reformasi yang sedang dijalankan.
Beliau turut mencadangkan agar MADANI Feedback Week atau makmal dasar terbuka di setiap kementerian diadakan bagi menunjukkan keterbukaan kerajaan terhadap pandangan dan kritikan berasaskan fakta.
“Kritikan bukan ancaman tetapi sebahagian daripada ekosistem governans yang sihat,” tambahnya.
Zainal Abidin percaya masa depan MADANI bergantung kepada sejauh mana rakyat diundang sebagai rakan kongsi, bukan sekadar penerima manfaat atau penonton dari jauh.
“Showcase seperti Kampung MADANI atau Bandar MADANI yang melibatkan belia, komuniti, PBT (pihak berkuasa tempatan) dan universiti dalam mereka bentuk solusi dengan peruntukan kecil tetapi nyata untuk idea yang dipilih secara terbuka boleh menjadikan MADANI sebagai projek bersama rakyat,” katanya.
Beliau berkata apabila inisiatif seperti ini menjadi norma dalam pentadbiran negara, reformasi tidak lagi perlu dilaungkan setiap hari sebaliknya akan terbukti melalui cara kuasa diurus, teguran dirangkum dan program disulam dalam kehidupan seharian rakyat.
“Apabila itu berlaku, MADANI tidak lagi perlu dihias dalam naratif kerana realiti di lapangan sudah mula bercakap bagi pihaknya,” katanya.
Beliau berkata inisiatif seperti yang dicadangkan itu bukan sahaja memberi nafas segar kepada reformasi, tetapi juga menjadikan MADANI sebagai manifestasi sebenar nilai keterbukaan, tanggungjawab dan kemanusiaan yang menjadi teras kepada Malaysia baharu.
-- BERNAMA
