AM

PROJEK ZON EKONOMI ANJUNG SELATAN PELENGKAP PEMBANGUNAN DI TIGA NEGERI

09/12/2025 02:27 PM

MELAKA, 9 Dis (Bernama) -- Rancangan mewujudkan Zon Ekonomi Anjung Selatan (ZEAS) melibatkan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan bukan bertujuan untuk bersaing, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap kepada projek pembangunan berimpak tinggi yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi mampan di ketiga-tiga negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek ZEAS juga dilihat berpotensi menjadi platform terbaik untuk meningkatkan pelbagai sektor ekonomi termasuk perindustrian, pelancongan, pertanian dan infrastruktur.

Beliau berkata pembangunan ZEAS disokong oleh beberapa projek utama, antaranya empat projek keutamaan iaitu pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) melibatkan jajaran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (KLIA) melalui Banting hingga ke Gelang Patah, Johor, yang akan merentasi Negeri Sembilan dan Melaka.

“Seterusnya ialah Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang turut menjadi permintaan ketiga-tiga negeri sebagai kluster ekonomi baharu, di mana perkara ini akan dibincangkan bersama Kementerian Ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) pada sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata kewujudan tiga zon ekonomi negeri iaitu Maharani Freeport di Johor; Straits of Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) di Melaka; serta Smart AI Container Port di Negeri Sembilan akan membolehkan setiap negeri memasarkan produk masing-masing tanpa perlu bersaing, sebaliknya saling melengkapi.

“Projek terakhir ialah Jelapang Padi Anjung Selatan yang turut melibatkan kawasan Sungai Rambai, yang bukan sahaja memperkasa sektor pertanian, tetapi turut memacu pembangunan pelancongan di ketiga-tiga negeri,” katanya.

Ab Rauf (BN-Tanjung Bidara) berkata satu bengkel juga telah diadakan membabitkan ketiga-tiga negeri bagi memperincikan lebih lanjut mengenai pembangunan ZEAS.

Katanya hasil dapatan daripada bengkel itu akan dibentang ke Mesyuarat Jawatankuasa Wilayah dan dibentang ke Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sebelum ia diangkat ke Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan