MELAKA, 9 Dis (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan Bajet Negeri 2026 yang bertemakan “Pembangunan Terancang, Demi Rakyat, Untuk Rakyat”.
Belanjawan itu lulus apabila disokong 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada sesi undian selepas ucapan penggulungan usul dan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan 2026 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat DUN Melaka Ke-15.
Sementara itu, dua ADUN iaitu Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (PAS-Rembia) tidak hadir atas faktor kecemasan dan keluarga manakala Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) memilih berkecuali.
RUU Enakmen Perbekalan 2026 itu diluluskan selepas penggulungan oleh Ketua Menteri Datuk Ab Rauf Yusoh dan sebelum itu dibahas tujuh ADUN.
Ketua Menteri sebelum ini memaklumkan anggaran Bajet 2026 merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM528.8 juta manakala anggaran perbelanjaan pembangunan berjumlah RM93 juta.
Beliau berkata anggaran hasil kerajaan negeri pula sebanyak RM528.9 juta disumbangkan daripada hasil cukai (RM184.7 juta), hasil bukan cukai (RM295.7 juta) serta terimaan bukan hasil (RM48.5 juta).
Ab Rauf berkata Bajet 2026 itu membabitkan tiga agenda yang akan dilaksanakan secara komprehensif dan inklusif dengan pelaksanaannya akan dilakukan secara komprehensif melalui 13 fokus utama berdasarkan 11 portfolio Exco serta perkhidmatan awam.
Tiga agenda utama itu ialah melestarikan pembangunan dan keberhasilan ekonomi, mensejahterakan rakyat dan pembangunan modal insan serta memantapkan tatakelola dan kecekapan tadbir urus.
-- BERNAMA
