KOTA KINABALU, 9 Dis (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya hari ini menyerahkan pemberitahuan rasmi mengenai kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah.
Kadzim dalam kenyataan hari ini memaklumkan kekosongan berlaku berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, Jumaat lepas.
Beliau berkata pemberitahuan itu selaras dengan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah.
“Justeru, pihak DUN Sabah menyerahkan kepada SPR Sabah untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi pihak DUN Sabah, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Bung Moktar, 66, yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi Jumaat.
Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.
-- BERNAMA
