AM

KPKT NAIK TARAF I-KREDIKOM, BENDUNG KEGIATAN PINJAMAN WANG HARAM

10/12/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membangunkan aplikasi baharu bagi menaik taraf i-KrediKom dengan fungsi tambahan mulai tahun hadapan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata aplikasi yang membantu bakal peminjam membuat semakan awal status lesen syarikat pembeli pinjam wang itu akan dipertingkat melalui ciri imbasan kod QR, sijil lesen digital dan semakan kedai akaun.

“Kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti serta membanteras kegiatan ah long,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar berhubung cadangan mengintegrasikan i-KrediKom dengan pangkalan data PDRM dan MCMC bagi menyekat iklan pinjaman haram.

Aiman Athirah berkata setakat ini lebih 300 laman sesawang iklan pemnberian pinjaman wang telah diturunkan melalui kerjasama KPKT dan MCMC, dan usaha integrasi itu akan diteruskan.

Sementara itu, Aiman Athirah memberitahu sebanyak 2,356 kilogram (kg) sisa makanan berjaya dirawat di tapak pengkomposan melalui projek pembuktian konsep kutipan sisa makanan yang dilaksanakan KPKT bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Projek yang dilaksanakan di tiga lokasi di Kuala Lumpur dan di Bandar Baru Nilai itu melibatkan 20 premis dan menggunakan kaedah pengkomposan dan melalui kaedah Black Soldier Fly (BSF) (penggunaan larva lalat untuk mengurus sisa makanan domestik).

“Hasil rawatan tersebut mengurangkan pelepasan 1,060 kilogram karbon dioksida dan 23.56 kilogram metana,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Keng Heng mengenai langkah kerajaan bagi melaksanakan pengasingan sumber sisa pepejal perbandaran di premis komersial.

Beliau berkata inisiatif itu sedang diperluas ke negeri-negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), manakala beberapa pusat komersial termasuk MyTOWN Shopping Centre turut mengambil langkah proaktif menubuhkan pusat kitar semula dan pengasingan sisa makanan untuk dihantar ke fasiliti BSF.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan