AM

BANJIR: 15 PUSAT PEMINDAHAN KEKAL DIBINA DI SELURUH NEGARA - NADMA

10/12/2025 06:05 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Dis (Bernama) -- Sebanyak 15 pusat pemindahan kekal (PPK) yang lengkap dengan kemudahan asas kini dalam proses pembinaan di seluruh negara bagi kemudahan penduduk yang terjejas bencana.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Hussain Moh berkata PPK di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, Johor dijangka menjadi PPK yang pertama siap dibina pada awal tahun depan.

"Buat masa ini kita hanya membina satu (PPK) untuk setiap negeri sebagai projek perintis tetapi di Terengganu, ada dua (projek) iaitu menaik taraf pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedia ada dan satu lagi dibina baharu.

"Bagi projek PPK di SK Banggol Peradong mungkin akan siap Julai tahun depan manakala menaik taraf PPS yang sedia ada, iaitu di SK Matang telah siap dan mungkin dapat digunakan sepenuhnya sekiranya banjir berlaku pada musim tengkujuh kali ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) Negeri Terengganu di sini hari ini.

Hussain berkata kos pembinaan PPK itu melibatkan kira-kira RM8 juta bagi setiap bangunan, bergantung kepada keadaan tapak dan keperluan di negeri masing-masing.

Beliau berkata setiap PPK yang sedang dibangunkan ketika ini mampu menampung sehingga 500 mangsa banjir apabila siap sepenuhnya bagi memastikan keselesaan dan kelancaran operasi.

Hussain berkata kapasiti itu ditetapkan bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat digunakan dengan selesa termasuk kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ruang rehat petugas, kawasan makan, surau serta lokasi rawatan perubatan.

Menurut beliau, pembinaan PPK juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada sekolah sebagai PPS, sekali gus mengelakkan gangguan terhadap sesi persekolahan terutama ketika musim peperiksaan.

“Kalau boleh kita tidak mahu mengganggu perjalanan harian sekolah kerana lebih 50 peratus PPS adalah sekolah. Apabila berlaku banjir, ia memberi kesan kepada sesi persekolahan termasuk peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), maka sebab itu kita bina PPK bagi mengurangkan gangguan berkenaan,” katanya.

Hussain berkata NADMA bersama semua agensi perkhidmatan berkaitan termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah berada dalam siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.

Pada majlis itu, Hussain turut menyaksikan penyerahan SDCC Terengganu yang telah siap dibina melibatkan pembinaan bangunan dan pengubahsuaian ruang, pembekalan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan audio visual serta perabot. 

SDCC itu merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam merancang kesiapsiagaan bagi menguruskan bencana lebih efisien dan sistematik melibatkan kerjasama semua pihak di peringkat negeri untuk melindungi nyawa dan harta benda.

Sementara itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Kerajaan MADANI telah menyalurkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM26.5 juta bagi pengurusan bencana di negeri ini terutama dalam menghadapi Monsun Timur Laut setiap tahun. 

Kenyataan itu memaklumkan ia turut merangkumi pelaksanaan projek pemulihan infrastruktur asas akibat bencana melibatkan 317 projek kecil bernilai RM200,000 dan ke bawah di seluruh Terengganu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan