EKONOMI

CHIN HIN LUPUS 44.12 JUTA SAHAM SIGNATURE INTERNATIONAL MENERUSI TRANSAKSI LUAR PASARAN

10/12/2025 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Chin Hin Group Bhd melupuskan 44.12 juta saham biasa dalam anak syarikatnya, Signature International Bhd (SIB) pada harga purata RM1.36 sesaham dengan jumlah pertimbangan kira-kira RM59.99 juta. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pelupusan itu mewakili 6.83 peratus daripada modal saham berbayar dan terbitan SIB, yang dilaksanakan menerusi urus niaga luar pasaran antara 25 Julai 2025 dan 9 Dis, 2025. 

Sebelum pelupusan itu, Chin Hin memegang 455.23 juta saham dalam SIB atau 70.52 peratus kepentingan, dan berikutan pelupusan itu, jumlah saham yang dipegang oleh SIB berkurang kepada 411.11 juta atau 63.69 peratus. 

SIB adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, terutamanya terlibat dalam pegangan pelaburan. 

Berdasarkan penyata kewangan teraudit disatukan terkini SIB pada 31 Dis, 2024, syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM122.54 juta dan aset bersih sebanyak RM527.42 juta.

“Pelupusan ini merupakan sebahagian daripada strategi pengurusan modal kumpulan untuk memperuntukkan semula dana dan merealisasikan nilai bagi keutamaan strategik.

“Hasil yang diperoleh daripada pelupusan itu akan digunakan kumpulan ini sebagai modal kerja,” katanya. 

Kos asal pelaburan bagi saham SIB yang dilupuskan adalah sekitar RM25.81 juta. Saham tersebut diperoleh dari tempoh antara 8 Mac, 2021 dan 7 Mei 2024. Pelupusan itu mewakili keuntungan daripada penjualan adalah kira-kira RM34.18 juta. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan