AM

SULTAN SELANGOR TERIMA BANYAK ADUAN TENTANG KEBERSIHAN

11/12/2025 12:20 PM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor, menegaskan bahawa baginda mahu perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri itu.

Baginda bertitah, dahulu, rakyat yang menulis kepada baginda biasanya tidak menyatakan nama dan maklumat berkaitan untuk menghubungi mereka, namun sekarang, penulis akan memberikan nama dan butiran untuk berhubung, sekali gus menunjukkan bahawa mereka sememangnya mahu dihubungi.

"Mereka juga menghantar gambar untuk membuktikan aduan mereka. Mereka tunjukkan bukti. Ada seorang individu yang menulis blog mengenai keadaan itu dengan surat terbuka kepada beta kerana terdesak untuk mendapatkan perhatian beta," titah baginda dalam temu bual dengan Bernama.

"Beta sudah muak (fed-up). Sudah tiba masanya PBT (pihak berkuasa tempatan) membetulkan kesilapan mereka. Selangor ialah negeri Malaysia paling membangun dan mempunyai populasi yang besar (7.4 juta) dan ia sepatutnya menjadi kebanggaan negara," tItah Sultan Sharafuddin.

Baginda bertitah Selangor sepatutnya menjadi model kemajuan, kecekapan dan pentadbiran yang baik, "tetapi rakyat beta mengadu bahawa berjalan di kebanyakan bandar dan pinggir bandar hari ini tidak seperti yang diuar-uarkan."

"Beta melihat gambar-gambar tong sampah yang melimpah, longkang tersumbat, lorong belakang yang tidak dibersihkan dan jalan raya penuh sampah telah menjadi pemandangan biasa. Mereka kata berjalan di beberapa tempat berbau busuk.

"Ada sesuatu yang sangat tidak kena apabila penduduk, dari Klang ke Petaling Jaya ke Ampang dan Subang, menyuarakan kekecewaan atas kemerosotan kebersihan jalanan," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, "bagi negeri yang mengutip hasil berbilion dengan infrastruktur moden yang dibangga-banggakan, ini tidak sepatutnya berlaku. Beta meletakkan tanggungjawab pada PBT masing-masing atas situasi menyedihkan ini."

Baginda bertitah jadual kutipan sampah yang tidak teratur, penyelenggaraan tong sampah jalanan yang lemah dan penguatkuasaan longgar terhadap pembuangan sampah merata-rata adalah satu kejengkelan sehari-hari yang akhirnya menjadi masalah yang lebih besar.  

Titah baginda, perlu adanya akauntabiliti, menekankan bahawa isu itu perlu diambil serius dan PBT mestilah mempunyai standard kebersihan yang boleh diukur.

Baginda menyeru agar kontrak pengurusan sisa dinilai semula dan ditamatkan sekiranya pihak berkenaan tidak mampu melaksanakan tugas itu, menyatakan bahawa jalanan yang bersih cerminan kepada kebanggaan sivik dan kecekapan kerajaan.

Sultan Sharafuddin bertitah longkang tersumbat adalah antara punca mengapa masalah banjir masih berterusan di negeri itu.

"Ini telah mengakibatkan kemusnahan harta benda dan menyebabkan beban yang tidak perlu dan kerugian kepada rakyat," titah baginda.

Baginda turut mendesak jumlah perwakilan yang lebih adil dan seimbang dalam PBT, sebagai contoh bukan 100 peratus ahli politik.

"PBT sepatutnya melantik ahli majlis seperti profesional atau pesara dengan kemahiran dan pengalaman untuk dikongsi. Bukan hanya ahli politik. Profesional ini boleh memberikan nasihat dan input berharga untuk membangunkan majlis perbandaran," titah baginda. 

-- BERNAMA 

Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan