AM

UDA BANGUNKAN 1,402 RUMAH MAMPU MILIK DI IBU KOTA

11/12/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA) terus mengukuhkan peranan sebagai peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset apabila berjaya membangunkan 1,402 unit rumah mampu milik di sekitar ibu negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim UDA Azrudyn Rashid berkata daripada jumlah tersebut, 700 unit telah siap dibangunkan merangkumi 206 unit di Legasi Kampong Bharu dan 494 unit di Residensi Akasia Jubilee, manakala 702 unit lagi di Residensi Akasia Raya kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2029.

Beliau berkata keselarasan antara harga yang munasabah, lokasi strategik dan keluasan kediaman yang selesa menjadikan penawaran UDA kekal relevan kepada golongan belia, pembeli rumah pertama serta warga kerja bandar.

“Dari sudut pasaran, penawaran UDA jelas kompetitif pada kadar sekitar RM370 sekaki persegi berbanding projek sekitar dengan purata berharga kira-kira RM592 sekaki persegi.

“Prinsip ini kekal selari dengan mandat kami untuk mengimbangi kelestarian komersial dengan tanggungjawab sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Perkhidmatan Korporat UDA Farizal Zainudin.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.

Azrudyn berkata Residensi Akasia Jubilee merupakan projek rumah mampu milik kedua UDA di tengah bandar Kuala Lumpur selepas Legasi Kampong Bharu, dengan unit seluas 814 kaki persegi yang dilengkapi kemudahan seperti gelanggang futsal, dewan serba guna, taman permainan kanak-kanak, surau dan lain-lain.

Pada masa sama, Azrudyn berkata pembangunan Fasa Kedua iaitu Residensi Akasia Raya yang terletak bersebelahan projek berkenaan akan menambah lagi penawaran rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

“Sebanyak 50 peratus unit telah dijual dan baki 50 peratus lagi (351 unit) dibuka kepada penjawat awam melalui kerjasama UDA bersama Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dengan kadar pembiayaan serendah RM240,000.

“Inisiatif ini menzahirkan keprihatinan UDA agar penjawat awam turut berpeluang memiliki kediaman berkualiti di lokasi strategik Kuala Lumpur,” katanya.

UDA kini turut membangunkan Dedaun Residensi di Bandar Tun Hussein Onn, apartmen moden berkeluasan 850 hingga 1,160 kaki persegi pada harga bermula RM447,888, dilengkapi kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serba guna dan kemudahan pengecasan EV.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapan perasmian berkata penawaran rumah mampu milik seperti Residensi Akasia Jubilee adalah sebahagian komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui aspirasi Malaysia MADANI.

Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan perumahan di kawasan bandar perlu mengambil kira kemudahan asas yang mencukupi bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti pekerja tetapi juga menentukan capaian keluarga kepada pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi.

Keperluan itu, beliau berkata menuntut kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan perancangan bersifat silo.

Mapping perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku ketidakseimbangan terhadap keperluan kemudahan asas tersebut,” katanya.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Akasia Jubilee yang menawarkan 494 unit kediaman seluas 814 kaki persegi pada harga RM300,000, lebih rendah berbanding purata projek perumahan di kawasan sekitar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan