MELAKA, 11 Dis (Bernama) -- Jumlah keseluruhan kutipan zakat di Melaka mencatatkan RM112 juta setakat 30 Nov lepas, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Beliau berkata pihaknya optimis sasaran kutipan sebanyak RM152 juta tahun ini mampu dicapai berikutan peningkatan trend pembayaran zakat pada bulan Disember saban tahun.
“Kebiasaannya pembayar akan berpusu-pusu menunaikan zakat menjelang 31 Dis kerana kebanyakkan pengeluar zakat akan mengira pendapatan tahunan mereka setiap hujung tahun dan kami dapat melihat jumlah kutipan zakat pada bulan itu biasanya meningkat dengan ketara.
“Tahun lepas, kutipan meningkat mendadak pada minggu terakhir sehingga melebihi sasaran iaitu RM113 juta dan kami berharap momentum sama berulang atau melepasi sasaran kali ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Ayer Keroh di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 23 agensi korporat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM7.49 juta.
Rahmad berkata kesedaran tinggi dalam kalangan syarikat dan individu terhadap kewajipan berzakat membantu memastikan dana bagi keperluan lapan asnaf dapat diagihkan secara berterusan dan lebih menyeluruh.
“Kami berharap lebih banyak syarikat dan individu tampil melakukan perkara sama menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata setakat 30 Nov lepas, zakat pendapatan kekal sebagai penyumbang tertinggi dengan kutipan RM66.8 juta diikuti zakat perniagaan (RM19.6 juta) dan zakat wang simpanan (RM16.4 juta).
“Turut direkodkan ialah zakat emas dan perak berjumlah RM1.9 juta, zakat saham (RM441,224), zakat ternakan (RM50,550) dan zakat pertanian (RM46,414) meliputi keseluruhan pembayar sebanyak 48,648 orang.
“Kutipan zakat fitrah pada tahun ini pula adalah RM6.6 juta dengan jumlah pembayar sebanyak 683,982 orang,” katanya.
-- BERNAMA
