Oleh Muhammad Saufee Rosman
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Norma penggunaan digital dalam kalangan ahli keluarga di Malaysia termasuk ketagihan Internet dapat dikurangkan sekiranya cadangan mengehadkan golongan bawah 16 tahun memiliki akaun media sosial dilaksanakan, menurut pakar komunikasi teknologi dan manusia.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Dr Hamizah Sahharon berkata penguatkuasaan cadangan itu juga dapat mengekang masalah buli siber dan gangguan seksual selaras dengan objektif Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) untuk mewujudkan ekosistem Internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak serta remaja.
"Langkah kerajaan itu akan memberikan impak positif dengan mengurangkan pendedahan remaja terhadap kandungan toksik serta risiko eksploitasi digital," katanya kepada Bernama.
Akta 866 diwartakan pada 22 Mei lepas dan dijangka berkuat kuasa 1 Jan 2026 bagi memperkukuh keselamatan dalam talian di Malaysia melalui kawal selia kandungan berbahaya, penetapan tanggungjawab penyedia perkhidmatan aplikasi dan rangkaian serta pelaksanaan piawaian keselamatan tertentu.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan keperluan pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Hamizah Sahharon juga berkata sekiranya dasar itu dilaksanakan dengan tepat, ia turut membuka ruang kepada pendidikan digital yang lebih terkawal, mengukuhkan peranan ibu bapa dalam pemantauan anak dan meningkatkan akauntabiliti platform media sosial di bawah pelan keselamatan dalam talian.
Beliau meluahkan kebimbangan bahawa pengguna muda mungkin beralih ke ruang digital underground menggunakan akaun palsu untuk mengelakkan verifikasi umur yang mendedahkan mereka kepada kandungan ekstrem tanpa kawalan algoritma selain isu privasi dan keselamatan data.
Sehubungan itu, Hamizah menyarankan agar platform media sosial diwajib melaksanakan sistem verifikasi umur yang sahih tanpa menjejaskan privasi pengguna selain memastikan pelan keselamatan dalam talian mereka diaudit secara berkala bagi mematuhi piawaian Akta 866.
“Untuk memastikan dasar ini berjaya, elemen paling kritikal ialah pematuhan platform digital terhadap audit keselamatan dan verifikasi umur serta pelaksanaan pelan pendidikan digital nasional yang melibatkan ibu bapa, sekolah dan komuniti... justeru, perlindungan kanak-kanak dapat dicapai tanpa mewujudkan jurang digital atau kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil pula berkata pemberian kebenaran kepada remaja berusia 17 tahun untuk memiliki akaun media sosial mungkin mendorong mereka menghabiskan masa berlebihan di platform tersebut sekali gus menjejaskan tumpuan ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan memperkukuh beberapa komponen yang merangkumi pelbagai aspek dalam pelaksanaan dasar ini khususnya literasi digital dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak seperti mempraktikkan Kerangka Literasi Digital UNESCO yang dirangka pada 2018.
“Antara komponen utamanya menekankan cara penggunaan peranti dengan betul... selain itu, ia merangkumi literasi maklumat iaitu bagaimana seseorang harus memahami dan menilai maklumat yang diterima melalui Internet kerana setiap bentuk kandungan mempunyai kaedah dan tatacara yang perlu diajar.
“Sebab itulah ancaman terhadap kanak-kanak berlaku apabila mereka gagal memahami kandungan... hal seperti pedofilia contohnya, memerlukan pengetahuan untuk mengenal pasti risikonya... kesedaran semata-mata tidak mencukupi kerana penjenayah sentiasa mencari cara untuk memerangkap mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, Siraj berkata remaja 16 tahun di Malaysia dianggap kurang matang dan masih memerlukan bimbingan berbanding rakan sebaya di Australia selepas negara itu melaksanakan dasar mengehadkan umur pemilikan akaun media sosial bermula semalam.
Daripada perspektif seorang ibu pula, Izzati Ismail, 35, bersetuju sekiranya kerajaan mengehadkan kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial kerana langkah itu dapat membantu melindungi emosi dan perkembangan anak-anak yang belum matang mengurus tekanan digital.
Ibu kepada dua anak itu berkata had penggunaan media sosial juga mampu membawa perubahan positif kepada perkembangan anak termasuk memberi lebih tumpuan kepada pembelajaran, aktiviti fizikal dan interaksi sosial secara langsung.
“Bila akses media sosial dihadkan, anak boleh fokus pada rutin sebenar dan elak tekanan trend pelik... cuma sebagai ibu bapa, kita memang tetap bimbang kalau mereka cari jalan belakang sebab sekarang banyak video yang tidak sesuai dengan had umur... jadi, kita sendiri perlu lebih memantau mereka,” katanya.
-- BERNAMA
