PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik hasrat Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark untuk menjalinkan kerjasama serta bertukar kepakaran bagi memperkasakan keupayaan agensi itu dalam aspek pencegahan dan tadbir urus rasuah.
Ombudsman Parlimen Denmark Christian Britten Lundblad berkata beliau dan pegawainya bersedia untuk berkongsi falsafah, pengalaman serta idea di sebalik konsep ombudsman yang diamalkan di seluruh dunia.
Lundblad, yang juga Presiden Mahkamah Frederiksberg di Denmark, berkata institusi Ombudsman di negara itu mempunyai kuasa menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan siasatan umum berkaitan tadbir urus sektor awam.
Untuk rekod, Denmark tidak mempunyai entiti khusus bagi penyiasatan dan pencegahan rasuah namun Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark adalah antara badan utama yang berperanan menangani isu rasuah, pelanggaran integriti serta tadbir urus dalam sektor awam.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.
Sementara itu, Ahmad Khusairi berkata mekanisme tadbir urus Denmark yang kukuh, rangka kerja integriti yang mantap dan peranan Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark boleh dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh sistem integriti serta akauntabiliti pentadbiran awam Malaysia.
“Pertemuan ini dapat memberikan penekanan dalam memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran awam.
“SPRM akan terus meningkatkan usaha pencegahan rasuah di negara ini melalui peningkatan keupayaan penguatkuasaan, pembaharuan tadbir urus dan langkah-langkah integriti sektor awam,” katanya.
Turut hadir semasa kunjungan itu Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM Datuk Rasidah Abdul Karim, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM Mohd Gunawan Che Ab Aziz, Duta Denmark ke Malaysia Kristine Vangkilde Berner serta beberapa pegawai kanan Kerajaan Denmark dan agensi antirasuah berkenaan.
-- BERNAMA
