EKONOMI

LAPORAN TAHUNAN, PENYATA KEWANGAN FELDA 2022 DAN 2023 AKAN DIBENTANG DI PARLIMEN TAHUN DEPAN

11/12/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan (LTPK) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) 2022 dan LTPK FELDA 2023 akan dibentang dan diedarkan di Parlimen pada 2026.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini berkata laporan itu turut akan diterbitkan kepada pihak umum sejurus pembentangan dan pengedaran LTPK FELDA di Parlimen selesai.

Laporan Tahunan FELDA 2021 telah menunjukkan jurang kerugian selepas cukai menguncup kepada RM36.9 juta daripada kerugian pada 2020 iaitu sebanyak RM713.7 juta. 

Manakala Kumpulan FELDA mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM56.1 juta berbanding kerugian sebanyak RM661.47 juta pada 2020.

"Ini menunjukkan pengurangan yang amat ketara didorong oleh pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dengan mengambil kira semua aspek utama melibatkan kebajikan warga peneroka, peningkatan produktiviti perladangan, pemantapan pengurusan tadbir urus, kecemerlangan pendidikan R&D dan teknologi,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang ingin tahu sama ada FELDA telah berjaya memperbaiki kedudukan kewangan dan mengurangkan kerugian serta bilakah laporan tahunan 2022 dan 2023 akan diterbitkan kepada umum.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan