KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Janin bayi yang ditemukan dalam sebuah lori sampah di Bukit Jalil, Cheras, dekat sini semalam, mengalami beberapa kecederaan serius pada tubuh.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata janin lelaki berusia kira-kira 25 minggu sepanjang 35 sentimeter itu mengalami kecederaan pada perut selain tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus.
“Setakat ini empat individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, polis mengesahkan penemuan janin bayi itu oleh seorang pekerja sebuah syarikat pengurusan alam sekitar semasa memunggah sampah ke dalam lori pada 12.30 tengah hari.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mengelakkan anak daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkannya mati selepas dilahirkan.
-- BERNAMA
