Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Keputusan sukar yang pernah dibuat jaguh baling tukul besi wanita negara Grace Wong Xiu Mei beberapa bulan lepas akhirnya terbukti berbaloi selepas beliau meraih pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Suphachalasai, di sini hari ini.
Grace yang memenangi emas dengan memecahkan rekod temasya sebanyak empat kali, berkata detik paling mencabar sebelum ke sini adalah ketika perlu memilih sama ada memberikan tumpuan kepada pengajian ataupun mengikuti latihan intensif di China.
Mengimbau kembali saat itu, penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Ijazah Sains Sukan dan Senaman itu mengakui berada dalam keadaan berbelah bahagi sebelum akhirnya memilih untuk menumpukan sepenuhnya kepada sukan berikutan sokongan kuat yang diterima daripada pihak universiti.
“Kenangan yang saya tidak boleh lupa adalah pada masa itu, semester ketiga baru nak mula dan MSN (Majlis Sukan Negara) umumkan bajet untuk latihan di China, jadi saya kena pilih satu, ketika itu memang saya ingin belajar, tetapi juga saya mahu dapat pingat emas.
“Kalau saya pilih sukan, pengajian saya perlu ditunda yang akan mengambil masa lama dan saya pun sudah 25 tahun, tetapi saya fikir saya sudah banyak labur dalam sukan, jadi kalau pilih sukan mungkin lebih baik dan akhirnya pilihan itu berbaloi,” katanya kepada Bernama di sini.
Pada saingan hari ini, Grace menampilkan aksi luar biasa apabila memenangi pingat emas dan membaharui rekod temasya sebanyak empat kali.
Atlet kelahiran Sarawak berusia 25 tahun itu memulakan aksi dengan balingan sejauh 63.34 meter (m) untuk memadam rekod temasya miliknya, 61.87m, yang dicipta pada edisi 2023 di Kemboja.
Beliau kemudian mencipta rekod baharu temasya dan memadam rekod kebangsaan 63.53m yang dilakukannya pada kejohanan Olahraga Malaysia di Kangar, Perlis, Ogos lepas setelah melakukan 63.83m dalam balingan kedua.
Percubaan ketiga beliau menghadiahkan satu lagi rekod temasya dan kebangsaan dengan catatan 65.09m sebelum Grace melengkapkan dominasi dengan lontaran keempat 65.41m untuk sekali lagi membaharui kedua-dua rekod itu dan membantunya mengesahkan kilauan emas.
Pingat perak menjadi milik wakil Thailand Koomphon Mingkamon dengan lontaran 60.74m sementara rakan senegaranya Kaewasuksri Sawitree meraih gangsa selepas mencatat 56.27m.
Sebagai rekod, kemenangan ini merupakan emas keempat Grace dalam acara baling tukul besi pada Sukan SEA selepas meraihnya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.
-- BERNAMA
