KUALA PILAH, 12 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki cedera dipercayai ditembak individu tidak dikenali semasa mencari petai di kawasan hutan Kampung Maasop, Senaling di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata semasa kejadian mangsa berusia 47 tahun berada di lokasi seorang diri.
“Mangsa dikatakan terkena tembakan peluru penabur di bahagian rusuk sebelah kanan dan belakang, sempat menghubungi ahli keluarga untuk meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Mustafah berkata mangsa yang bekerja sendiri dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini dan dilaporkan stabil.
Beliau berkata siasatan dijalankan termasuk bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.
Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah menerusi talian 06-4842 999 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Helmi Hussin 018-985 1207 untuk membantu siasatan.
-- BERNAMA
