AM

KKM BUKA SEMULA PERMOHONAN BAGI JAWATAN TETAP PEGAWAI FARMASI TAHUN DEPAN

12/12/2025 09:09 PM

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka semula permohonan bagi jawatan tetap pegawai farmasi pada tahun depan, sekali gus memberi peluang baharu kepada pegawai lantikan kontrak apabila kekosongan baharu itu diluluskan. 

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu berikutan selesainya urusan pengambilan terkini yang menyaksikan hanya 600 perjawatan tetap diisi kerana jumlah kekosongan yang terhad

Menurut kementerian baki pegawai farmasi kontrak tidak dapat diserap kerana tiada tambahan jawatan tersedia daripada perjawatan yang telah diluluskan.

“Turut disahkan bahawa status simpanan bagi calon telah luput pada Oktober lepas, selaras dengan prosedur pelantikan sedia ada,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan pegawai farmasi yang layak, termasuk mereka yang sebelum ini dalam senarai simpanan, dikehendaki mengemukakan permohonan baharu sebaik sahaja pengambilan diumumkan.

“KKM komited terhadap perancangan tenaga kerja yang telus, berasaskan merit dan selaras dengan keperluan perkhidmatan serta kapasiti perjawatan yang diluluskan,” menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini, media melaporkan nasib 730 pegawai farmasi kerajaan berada dalam keadaan menentu apabila janji untuk menyerap mereka ke jawatan tetap masih belum ditunaikan.

Senator Dr R A Lingeswaran berkata mereka adalah sebahagian daripada 1,330 pegawai “sementara” yang sepatutnya ditawarkan jawatan tetap pada Oktober lepas, namun akhirnya hanya 600 orang yang diserap. 

--BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan