PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa sebarang cadangan atau keputusan berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mesti berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata isu itu tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.
“Pendirian Kerajaan MADANI kekal konsisten bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi.
“Prinsip ini terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Zambry berkata KPT bersetuju dengan penegasan Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan sama ada Cina, Tamil, Arab, Inggeris mahupun sekolah antarabangsa, wajib mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu.
Beliau berkata perkara itu selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional dalam pembinaan jati diri dan perpaduan negara.
Zambry berkata di peringkat KPT, kementerian akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.
“Penekanan akan terus diberikan kepada penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, teknologi dan ilmu,” katanya.
Pada masa yang sama, Zambry berkata KPT turut memperkasa Bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa suku kaum bagi melahirkan bakat nasional yang multilingualisme, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan serta mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global.
-- BERNAMA
