SUKAN

THOR SUMBANG EMAS SULUNG SNUKER NEGARA

12/12/2025 11:02 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Pemain berpengalaman negara Thor Chuan Leong menghadiahkan pingat emas sulung kepada kem snuker negara di Sukan SEA Thailand  2025 selepas mengungguli acara 6-Red perseorangan lelaki hari ini.

Dalam aksi berlangsung di Thunder Dome Muang Thong Thani, pemain berusia 37 tahun itu tampil cemerlang apabila melakar kemenangan lima frame berturut-turut untuk menewaskan peserta tuan rumah, Danjirakul Poramin yang hanya mengutip dua frame.

Kali terakhir Thor memenangi acara 6-Red ialah pada edisi 2013 di Naypyidaw.

Thor mengakui kemenangan itu tidak datang mudah kerana beliau berdepan tekanan selain perlu mengurus cabaran mental sebelum memastikan emas menjadi miliknya.

“Sangat gembira sebab sebelum ini memang ada tekanan kerana keputusan ini akan jadi pemangkin untuk Sukan SEA di Malaysia nanti.

“Jadi saya fikir sekurang-kurangnya saya perlu mendapatkan satu emas. Saya beri tekanan kepada diri sendiri, sebab itu saya sangat gembira dan semua orang datang tengok saya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Beliau turut berbangga dapat meneruskan rentak cemerlang rakan sepasukan Lim Kok Leong dan Moh Keen Hoo yang masing-masing meraih emas acara sama pada edisi Hanoi 2021 dan Kemboja 2023.

Kejayaan hari ini menyaksikan koleksi emas Sukan SEA Thor kini meningkat kepada enam keseluruhan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan