Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 12 Dis (Bernama) --Perenang negara, Jayden Tan, muncul sebagai satu-satunya atlet Malaysia yang menghadiahkan pingat pada hari ketiga acara renang Sukan SEA Thailand 2025 apabila berjaya mempertahankan pingat gangsa dalam acara 400 meter (m) rampaian individu di sini, hari ini.
Dalam aksi di Kolam Renang, Sports Authority of Thailand, Jayden mencatat masa 4 minit 25.98 saat (s).
Perenang berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di belakang perenang Vietnam, Nguyen Quang Thuan, yang merangkul emas dengan catatan 4:19.98s, manakala juara edisi lalu yang juga rakan sepasukannya, Tran Hung Nguyen, terpaksa berpuas hati dengan perak selepas merekodkan 4:25.45s.
Jayden mengakui saingan kali ini sedikit mendebarkan, namun keyakinannya terletak pada persiapan rapi sebelum turun beraksi.
Menurutnya detik perubahan mula dirasai ketika bahagian kuak lentang apabila dia merekodkan antara pecahan masa terpantas sepanjang kariernya.
“Daripada semua gaya hari ini, ini kali pertama saya dapat rentak yang cukup baik dalam kuak lentang. Saya rasa saya perbaiki kira-kira dua saat berbanding rekod terbaik sebelum ini.
“Saya mula dengan cukup agresif, memang terasa sedikit ‘bayar harga’ di penghujung perlumbaan, tetapi secara keseluruhan saya rasa saya berjaya melakukannya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, perenang negara lain gagal menyerlah pada hari yang kurang menjadi buat skuad renang.
Kuartet 4x100m rampaian lelaki negara — Khiew Hoe Yean, Andrew Goh Zheng Yen, Lim Yin Chuen, dan Bryan Leong Xin Ren — menamatkan saingan di kedudukan terakhir dengan catatan 3:41.92s..
Singapura memenangi emas acara itu dengan 3:38.47s, diikuti Thailand yang meraih perak (3:40.28s) dan Vietnam membawa pulang gangsa (3:41.34s).
Dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki, perenang negara Muhammad Dhuha Zulfikry menamatkan perlumbaan di kedudukan tercorot dengan 16:12.55s, jauh ketinggalan di belakang pemenang dari Vietnam, Nguyen Huy Hoang (15:19.58s).
Rakan sepasukannya Tran Tuan Anh Mai meraih pingat perak (15:22.59s), manakala wakil Singapura, Russel Pang memenangi gangsa (15:28.46s).
Sementara itu, dalam acara 400m gaya bebas wanita, perenang negara Tan Rui Nee menamatkan saingan di tempat kedua tercorot dengan 4:34.26s.
Singapura, menerusi Gan Ching Hwee, mendominasi acara berkenaan dengan masa 4:11.88s, manakala perak menjadi milik wakil Thailand, Kamonchanok Kwanmuang (4:13.56s), dan gangsa diraih Thi My Tien Vo dari Vietnam (4:17.39s).
-- BERNAMA
