AM

MALAYSIA ADAKAN MESYUARAT KHAS MENTERI LUAR ASEAN DALAM MASA TERDEKAT - PM ANWAR

12/12/2025 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat, untuk menilai situasi semasa dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selaku Pengerusi ASEAN, mesyuarat itu juga bagi mengukuhkan peranan kolektif ASEAN dalam memelihara keamanan serantau.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas menghubungi rakan sejawat, Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính bagi membincangkan perkembangan semasa di rantau ini, serta usaha-usaha bersama untuk memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.

“Dalam pada itu, saya turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam dalam menangani isu penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU),” kata beliau.

Anwar berkata kerjasama itu termasuk penyelarasan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan langkah pencegahan.

“Saya yakin bahawa melalui dialog berterusan dan mekanisme sedia ada, isu ini dapat diselesaikan secara berhemah, tenang dan saling menghormati,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan