JOHOR BAHRU, 13 Dis (Bernama) -- Polis menahan sembilan warga Indonesia termasuk tiga tekong yang cuba menyeludup keluar dari Malaysia menggunakan tiga bot di perairan Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, dua hari lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata semua lelaki berusia dari 22 hingga 52 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menerusi OPS Taring Gelora dari 6.53 petang hingga 8.30 malam.
“Bot itu dipintas kerana mencurigakan dan pemeriksaan mendapati tiga tekong tersebut berperanan membawa penumpang keluar masuk ke Batam manakala enam lagi penumpang yang ingin pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata pihaknya merampas dua bot pancung kayu, bot fiber (sebuah), enjin sangkut Yamaha (dua) dan enjin sangkut Suzuki 100 kuasa kuda (satu) dengan nilai keseluruhan RM435,785.
Beliau berkata semua ditahan dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Pengerang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007.
Orang ramai mempunyai maklumat kegiatan jenayah diminta menghubungi bilik gerakan polis terdekat atau Pusat Kawalan Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-2212 999.
-- BERNAMA
