AM

KERTAS CADANGAN SEKOLAH SELAMAT 2.0 DIKEMUKA KEPADA KPM TAHUN DEPAN

13/12/2025 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) - Kertas Cadangan Integrasi Kerangka Sekolah Selamat 2.0 yang merangkumi 11 bahagian termasuk cadangan pindaan Akta Pendidikan 1996 dan penggubalan peraturan baharu, akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan pada suku pertama tahun depan.

Ketua Penyelidik kertas cadangan itu Prof Madya Datuk Dr Monna Ong View Siew berkata antara teras utama yang dicadangkan ialah Dasar Kesejahteraan Mental sekolah Nasional, yang akan menjadi payung utama bagi memastikan program berkaitan keselamatan mental dan psikologi dapat dilaksanakan secara tersusun dan bersepadu.

Beliau berkata dapatan sesi dialog hari ini menunjukkan guru merupakan titik sentuhan psikologi pertama bagi pelajar, memandangkan kebanyakan pelajar lebih selesa berkongsi masalah dengan guru kelas yang berinteraksi dengan mereka setiap hari, berbanding guru kaunseling.

“Justeru, latihan psychological first aid (PFA) perlu diperkenalkan kepada semua guru, bukan sahaja kepada guru kaunseling bagi membantu mereka memahami perubahan tingkah laku serta trauma yang dialami pelajar,” katanya pada Forum From Their Eyes, A Youth Dialogue on Safety, Stress and Support, di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), di sini hari ini.

Mona berkata selain peranan guru, hubungan antara pelajar, ibu bapa dan sekolah juga perlu diperkukuh kerana rata-rata pelajar terlibat dalam forum itu enggan mengadu masalah dihadapi kepada ibu bapa, walaupun penglibatan ibu bapa amat penting bagi isu yang lebih serius.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar program literasi kesihatan mental untuk ibu bapa dilaksanakan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), supaya ibu bapa mempunyai kefahaman asas mengenai aspek psikologi anak-anak.

Mona berkata kertas cadangan berkenaan, turut mengesyorkan penubuhan satu mekanisme penyelarasan nasionaI yang menggabungkan sekolah, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta penyedia perkhidmatan klinikal dan semua kementerian berkaitan, untuk bekerjasama di bawah satu majlis untuk membantu pelajar secara menyeluruh.

Dalam forum tersebut, enam wakil pelajar tingkatan enam daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell, Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Terengganu dan pelajar TAR UMT, berkongsi pandangan mengenai hubungan baik antara pelajar dan guru, serta layanan yang adil mampu membuka ruang kepada pelajar untuk meluahkan masalah dan tekanan dihadapi.

Kumpulan pelajar itu berkata mereka lebih selesa berkongsi masalah dengan rakan sekelas dan guru, berbanding ibu bapa, kerana tidak mahu membebankan ibu bapa dengan masalah atau tekanan akademik yang dihadapi.

Mereka turut mencadangkan penyediaan sudut khas di sekolah sebagai ruang selamat untuk pelajar melepaskan tekanan yang dihadapi, sekiranya belum bersedia berkongsi masalah tersebut kepada guru atau rakan-rakan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola dan Majlis Alumni TAR UMT Tan Sri Chan Kong Choy berkata penganjuran forum seumpama itu penting, kerana dasar melibatkan generasi muda tidak seharusnya dibentuk berdasarkan andaian orang dewasa semata-mata.

“Pengalaman peribadi dan suara pelajar perlu diambil kira, bagi memastikan sebarang dasar yang ingin dilaksanakan lebih relevan dan berkesan,” katanya.

Chan berkata usaha pasukan penyelidik TAR UMT itu membuktikan bagaimana hasil penyelidikan akademik dapat diterjemahkan kepada pandangan praktikal, bagi menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti ke arah reformasi pendidikan jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan