AM

KAMPUNG ANGKAT MADANI: JPA PERUNTUK RM1.1 JUTA NAIK TARAF INFRASTRUKTUR KAMPUNG SERI MENANTI

13/12/2025 08:18 PM

KUALA PILAH, 13 Dis (Bernama) -- Lapan projek utama pembangunan infrastruktur di Kampung Seri Menanti di sini yang dilaksanakan melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berjaya disiapkan membabitkan peruntukan RM1.1 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen JPA sebagai agensi pusat yang mendukung aspirasi serta agenda kerajaan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk luar bandar.

“Antara projek berkenaan ialah pemasangan lampu solar, menaik taraf perpustakaan desa, balai raya, pusat sumber dan gelanggang sepak takraw dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

“Selain projek infrastruktur, beberapa aktiviti bersama masyarakat setempat turut dilaksanakan termasuk Adat Menerang Buapak dan Adat Berkodim, gotong-royong dan keceriaan kampung serta mini Karnival Sihat MADANI Seri Menanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan program tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata Sekolah Menengah Kebangsaan Za’aba turut dijadikan Sekolah Angkat MADANI jabatan itu dengan peruntukan RM100,000 bagi meningkatkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Mohd Shaiful berkata ia termasuk menaik taraf dewan peperiksaan, bengkel pembuatan, membekalkan Google TV dan papan pintar (smart board) bagi tujuan pembelajaran digital interaktif dalam kelas, selain program pembangunan rohani dan minda seperti kem Kepimpinan Muda Sekolah dan Perkhemahan Unit Beruniform MADANI.

“Saya berharap agar kemudahan ini dijaga dengan penuh tanggungjawab dan digunakan dengan cermat,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan