KUCHING, 13 Dis (Bernama) -- Sarawak bersedia untuk merangka semula strategi pembangunan ekonominya dengan memberi lebih tumpuan kepada industri masa depan, teknologi tinggi dan ekonomi rendah karbon, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata langkah itu diinspirasikan oleh kejayaan pembangunan Taman Perindustrian Suzhou di China, selepas mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa pentadbirannya bersempena lawatan kerja ke bandar itu baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak berpeluang bertukar-tukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik antara Suzhou dengan kawasan perindustrian yang dicadangkan di Sarawak.
Mengikut perancangan, ia akan dibangunkan dengan rakan kongsi strategik, China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd (CJI).
“Taman Perindustrian Suzhou yang bermula sebagai inisiatif bersama antara Singapura dan China, telah berkembang sejak 30 tahun lepas, bermula daripada perkampungan kecil kepada taman perindustrian moden dan sebuah bandar maju sepenuhnya, lengkap dengan pelbagai kemudahan dan zon perindustrian,” katanya, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Abang Johari berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat GCL Group di Suzhou, semalam.
Beliau berkata Sarawak sedang beralih menuju ke arah ekonomi moden, sambil menyatakan bahawa pendekatan untuk membangunkan kawasan perindustrian masa depan mesti seiring dengan keperluan era ekonomi baharu.
“Saya berpandangan bahawa kita kini sedang menuju ke arah ekonomi moden. Suzhou mewakili era yang berbeza, dan pembangunan kami juga akan berada di dalam era yang berbeza.
“Oleh itu, pendekatan dalam membangunkan kawasan itu mesti disesuaikan dengan keperluan ekonomi baharu,” katanya.
Menurut Premier, pembangunan perindustrian masa depan di Sarawak akan berteraskan kepada prinsip rendah karbon dan teknologi tinggi, dengan sumber gas negeri digunakan sepenuhnya untuk menyokong industri rendah karbon, yang berfungsi sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.
Abang Johari juga menambah bahawa sekembalinya di Sarawak, beliau akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai cadangan strategi pembangunan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan Tanjung Embang di Bahagian Samarahan telah dikenal pasti berpotensi sebagai hab teknologi maju, terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI), disokong oleh infrastruktur yang diperkukuh dan sumber yang ada di negeri ini.
Katanya, walaupun penduduk China berjumlah kira-kira 800 juta ketika Suzhou mula dibangunkan, Sarawak kini merancang membangunkan taman perindustriannya untuk memenuhi pasaran ASEAN yang mempunyai sekitar 800 juta penduduk, sekali gus membuka peluang di luar rantau ini.
-- BERNAMA
