POLITIK

BN AKAN RUNDING CALON PRK PARLIMEN KINABATANGAN, DUN LAMAG

14/12/2025 03:04 PM

SEMENYIH, 14 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perundingan dengan semua pihak, khususnya parti-parti yang membentuk kerajaan negeri Sabah, berhubung calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan perlu dibincangkan menerusi meja rundingan memandangkan BN kini merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.

“Oleh kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, tidak mustahil untuk kita mengadakan perundingan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi juga parti-parti lain yang pernah bertanding di Lamag sebelum ini.

“Bagi Parlimen Kinabatangan, kita juga akan berunding…jika perundingan dengan semua pihak dapat dilakukan, itu adalah kaedah yang lebih baik memandangkan tempoh Parlimen masih berbaki sehingga 24 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di sini hari ini.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebelum ini memaklumkan Mesyuarat Khas bagi urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan diadakan pada 16 Dis ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau belum diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengemukakan nama calon bagi mengisi kekosongan jawatan dalam Kabinet.

“Perdana Menteri belum minta (nama). Apabila tiba masanya, saya akan memaklumkan kepada beliau,” katanya.

Ketika ini, beberapa portfolio Kabinet MADANI masih kosong, termasuk Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan