KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri Kabinet mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan sepak takraw dan beregu badminton wanita negara yang meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Ahmad Zahid menyifatkan kejayaan regu berpasukan sepak takraw negara menewaskan musuh tradisi Thailand di pentas akhir itu sebagai detik bersejarah yang menamatkan penantian emas selama 34 tahun Malaysia dalam acara berkenaan.
“Saya pasti kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Tahniah buat semua termasuk di belakang tabir yang telah menghasilkan kejayaan bermakna ini.
“Tidak dilupakan, our favourite Pearly Tan dan M. Thinaah yang berjaya menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Sukan SEA bagi acara beregu wanita. Tahniah!,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Beliau berkata kejayaan dilakar itu jelas membuktikan semangat juang yang tinggi, disiplin serta kesungguhan para atlet dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk ramai lagi atlet mencapai lebih kejayaan dalam temasya ini. Insya-Allah. Yang tidak berjaya hari ini, tak mengapa… teruskan kerja keras, kami yakin gold medal akan menjadi milik anda satu hari nanti. Keep it up!,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi hantaran di platform media sosial sama turut mengucapkan tahniah kepada skuad takraw negara sambil menyifatkan kejayaan meraih emas menjadi lebih bermakna kerana menewaskan Thailand di gelanggang mereka sendiri.
Menerusi hantaran berasingan, Hannah turut mengucapkan tahniah kepada gandingan Pearly dan Thinaah atas kejayaan menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada penampilan sulung mereka di pentas Sukan SEA.
“Thank you for the gold, sepuluh tahun menunggu dan akhirnya, detik yang dinanti telah tiba, ini bukan sekadar kemenangan tetapi hadiah buat sokongan, harapan dan doa peminat badminton negara yang lama menanti kejayaan beregu wanita di Sukan SEA,” katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengucapkan tahniah pada pasukan takraw negara.
Tidak ketinggalan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang berkongsi rasa bangga atas pencapaian beregu wanita negara dan pasukan sepak takraw yang telah mengharumkan nama negara pada edisi ke-33 Sukan SEA kali ini.
Beregu wanita utama negara Pearly-Thinaah merangkul emas selepas menundukkan gandingan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung selama 86 minit.
Ini adalah pingat emas Sukan SEA pertama Pearly-Thinaah pada penampilan sulung mereka.
Skuad takraw negara pula menamatkan kemarau kejuaraan regu berpasukan lelaki sepak takraw Malaysia selama 34 tahun apabila menundukkan Thailand 2-1 pada perlawanan akhir di Gimnasium Nakhon Pathom hari ini.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah di Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
