DUNIA

RINGGIT KEKALKAN ALIRAN MENINGKAT, TINGGI BERBANDING DOLAR AS

15/12/2025 10:41 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Ringgit mengekalkan aliran meningkat, dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan sentimen yang lebih baik dalam ekonomi Malaysia dan ketegangan perdagangan yang mereda menyokong mata wang tempatan.

Pada 8.32 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0930/1040 berbanding dolar AS daripada 4.0945/1005 semasa ditutup pada Jumaat lepas. 

Kali terakhir paras semasa dicatatkan adalah pada 27 April 2021 apabila mata wang tempatan ditutup kepada 4.0960 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit, bagaimanapun, dijangka diniagakan dalam jajaran kecil hari ini berikutan prestasinya yang kukuh pada minggu lepas.

Beliau berkata penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang terkini oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS minggu lepas bukan keputusan sebulat suara, apabila dua penggubal dasar memilih mengekalkan kadar faedah yang menjadi penanda aras itu stabil berikutan kebimbangan mengenai inflasi.

“Minggu ini, kita akan melihat lebih banyak data mengenai inflasi dan laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) AS bagi bulan November. Oleh itu, peniaga dan pelabur dijangka kekal berhati-hati hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam negara, data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat lepas menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 6.0 peratus pada Oktober 2025, didorong oleh kenaikan yang kukuh sebanyak 6.5 peratus dalam sektor pembuatan.

Ahli ekonomi itu berkata berdasarkan data tersebut, industri berorientasikan eksport dalam sektor pembuatan meningkat 7.2 peratus, naik daripada 4.8 peratus, menunjukkan permintaan luaran yang tinggi menyokong ekonomi Malaysia.

Pada sesi awal, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.4670/4817 daripada 5.4789/4869 semasa ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 2.6246/6318 daripada 2.6264/6304 dan tinggi berbanding euro kepada 4.8007/8136 daripada 4.8037/8107 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1677/1765 daripada 3.1701/1750 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 245.8/246.6 daripada 245.9/246.4.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9624/13.0050 daripada 12.9589/9845 dan hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.93/6.95 daripada 6.93/6.94 sebelum ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan