AM

141 PROJEK RTB DILULUSKAN BAWAH RP1 RMK-13 BAGI KURANGKAN RISIKO BANJIR

15/12/2025 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Sebanyak 141 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di seluruh negara sebagai pendekatan struktur kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pihaknya mengambil maklum terdapat beberapa cabaran pelaksanaan di peringkat lapangan, termasuk keperluan kajian teknikal terperinci, reka bentuk berasaskan tahap perlindungan yang disasarkan, proses pengambilan tanah serta pengalihan utiliti sedia ada.

“Faktor-faktor ini mempengaruhi tempoh siap projek dan boleh menyebabkan kelewatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak enam projek bekalan air berjumlah RM1,272,002,208 telah diluluskan di bawah RP1 RMK-13.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii ketika sesi penggulungan bagi kementerian itu berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang menaik taraf rangkaian pencerapan radar di tiga lokasi, iaitu di Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Subang, Selangor bagi menyokong pemantauan dan pengeluaran amaran cuaca.

Beliau berkata seiring dengan perkembangan teknologi semasa, pelbagai medium sebaran telah dilaksanakan bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan agar penyebaran maklumat lebih meluas dan inklusif.

“Selain itu, MetMalaysia telah menaik taraf 23 siren tsunami dan akan menaik taraf 30 siren tsunami dalam RMK-13,” katanya.

Mengenai Projek Pemetaan dan Pembangunan Sumber Air Bawah Tanah Negara (PABT) yang bermula di Kedah sebagai perintis bagi tempoh 2021-2025 dengan kos RM16 juta, Huang berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) melaksanakan pemetaan akuifer secara sistematik di seluruh negeri melalui gabungan kaedah survei geofizik, aktiviti eksplorasi air bawah tanah dan pemodelan 3D/4D air bawah tanah.

Beliau berkata hasil kajian setakat ini berjaya mengenal pasti beberapa zon akuifer berpotensi tinggi, khususnya di beberapa daerah tanah pamah dan lembangan aluvium di Kedah, yang berupaya dimajukan sebagai sumber air alternatif.

Menurutnya, pendekatan yang dipilih dalam pelaksanaan PABT Kedah adalah lebih praktikal dan kos efektif berdasarkan keadaan geologi serta keperluan negara, di samping masih mampu menghasilkan model akuifer 3D dan 4D yang mencukupi untuk tujuan perancangan, pewartaan zon perlindungan dan pembangunan telaga baharu, berbanding penggunaan teknologi pemetaan akuifer 4D dari Jepun.

“Kerajaan kekal terbuka untuk memanfaatkan kepakaran dan teknologi Jepun secara terpilih, namun tumpuan utama pada masa ini adalah untuk melengkapkan pemetaan asas serta pembangunan pangkalan data air bawah tanah melalui projek rintis seperti PABT Kedah sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan