JENAYAH & MAHKAMAH

PEMANDU TRELER DIDAKWA PANDU KENDERAAN BAWAH PENGARUH DADAH, REMPUH PLAZA TOL

15/12/2025 06:15 PM

SHAH ALAM, 15 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, susulan kejadian merempuh pondok tol di Plaza Tol Kemuning, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) minggu lepas.

Tertuduh, Noor Azuan Abdul Rahman, 48, didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Touch ‘n Go Plaza Tol Kemuning, laluan dari Klang ke Kuala Lumpur, Lebuhraya Kesas di sini pada 9.11 malam, 10 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Noor Azuan yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menjaga kedua-dua ibu bapanya yang uzur dan anak saudaranya yang masih kecil.

Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 12 Feb 2026 untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Bernama sebelum ini melaporkan kemalangan itu membabitkan dua kenderaan yang dinaiki empat wanita, seorang lelaki dan dua kanak-kanak yang kesemuanya terselamat, namun hanya seorang jurutol wanita mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan