AM

MINDEF RANCANG PEROLEHAN STRATEGIK DALAM RP1 RMK13 PERKASA KEUPAYAAN ATM

15/12/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) merancang beberapa perolehan utama di bawah Rolling Plan (RP) pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melengkap dan memodenkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk sistem pertahanan udara, kapal sokongan pelbagai peranan serta peningkatan aset dan keupayaan tempur ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara perolehan yang dirancang ialah dua bateri sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana, dua kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) dan sistem pelancar peluru berpandu permukaan ke permukaan bagi Skuadron Kapal Ronda ke-17.

Beliau berkata, MINDEF turut merancang perolehan kenderaan infantri, sistem pertahanan udara jarak dekat dan sangat dekat, pemodenan sistem mortar 81 milimeter (mm), selain perolehan tambahan serta peningkatan keupayaan komunikasi satelit ATM.

“Banyak lagi perolehan yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Mohamed Khaled berkata langkah itu selari dengan perancangan pemodenan ATM yang dilaksanakan secara berperingkat dan realistik menerusi pelan khusus setiap perkhidmatan, iaitu Army for the Next Generation bagi Tentera Darat Malaysia (TDM), Program 15-to-5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pelan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  2055 (CAP55).

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika menggulung perbahasan RUU sama bagi Kementerian Kesihatan (KKM) berkata kerajaan sedang mengkaji kerangka perundangan bagi membolehkan kawalan dan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap iklan serta amalan penjualan yang mempromosikan penggunaan gula secara berlebihan.

Beliau berkata keperluan kepada kerangka perundangan itu timbul susulan percanggahan antara usaha melindungi kesihatan rakyat dan realiti pemasaran komersial, apabila iklan produk bergula masih berleluasa walaupun kementerian melaksanakan pendekatan ‘Perang Terhadap Gula’.

“Kita akui hasil yang diperoleh daripada aktiviti perniagaan produk bergula tidaklah sebesar perbelanjaan masyarakat untuk merawat penyakit kronik akibat pengambilan minuman manis.

“Justeru, kita sedang mengkaji kerangka perundangan bagi membolehkan teguran atau penguatkuasaan dilaksanakan terhadap iklan yang memaparkan penggunaan gula secara berlebihan, termasuk kepada peniaga,” katanya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal pada sesi penggulungan bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula berkata kementerian menerusi  Planetarium Negara sedang membangunkan modul pembelajaran realiti maya (Virtual REality - Planet VR) angkasa lepas baharu yang dijangka digunakan tahu depan.

Beliau berkata sebelum ini Planetarium Negara menggunakan modul pembelajaran angkasa lepas percuma yang dibangunkan oleh platform Google Apps, namun modul berkenaan telah ditutup.

“Ketika ini, modul Planet VR berada dalam proses ujian dan pentauliahan oleh unit jangkau luar Planetarium Negara,” katanya. 

Turut menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2026 hari ini ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Belia dan Sukan.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan