
Di sebalik julukan Negeri Serambi Mekah (Makkah) kerana penekanan pada aspek keIslaman dalam kalangan masyarakatnya, Kelantan turut dikenali sebagai tuan rumah patung Buddha Berbaring atau Sleeping Buddha ketiga terbesar di dunia.
Terletak di Kampung Jambu di sini, patung dengan panjang 41 meter itu menyambut kedatangan pengunjung Wat Photivihan sejak 1970-an, dan kini menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Akan tetapi, peranan patung dan wat ini tidak terhenti pada penganut Buddha, khususnya keturunan Siam, sebaliknya melangkaui batas kaum dan agama kerana turut menjadi tempat penduduk berlindung ketika bencana banjir.
Malah, berlatarkan patung ini, wat itu menjadi pentas pertemuan penduduk berbilang kaum dan agama berkongsi cerita dan resah kehidupan, selain membuka pintu rezeki kepada peniaga kecil tidak kira Melayu, Siam ataupun Cina yang mendiami kampung-kampung sekitar.
ASAL USUL PEMBINAAN WAT PHOTIVIHAN
Membuka kisah wat yang khusus untuk Buddha Siam itu, Ketua Sami Soon Kok Wai, 57, berkata wat tersebut dipercayai telah berusia lebih 300 tahun dan melalui era kepimpinan enam ketua sami setakat ini.
Menurut Soon, atau lebih dikenali sebagai Phrawai, yang telah berkhidmat di situ selama 27 tahun, wat tersebut dahulunya dikenali sebagai Wat Pokok Bhodi, merujuk pokok bhodi tertua di Kelantan yang ditanam di situ selepas dibawa dari Sri Lanka kira-kira sekurun lalu.
“Pembinaan patung Sleeping Buddha ini bermula pada 1973 atas idea Ketua Sami Phra Khru Prasas Prachakorn (Lee Ah Guan) yang meninggal dunia 12 tahun lepas.
“Kerja pembinaan mengambil masa enam tahun, menggabungkan tukang tempatan, arkitek kampung dan semangat gotong-royong penduduk Kampung Jambu, Kampung Ana dan kawasan sekitar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di wat berkenaan baru-baru ini.
pic-2
Patung Sleeping Buddha yang siap pada 1979 berukuran 41.15 meter panjang, 10.67 meter tinggi dan 10.36 meter lebar, sementara keseluruhan kompleks disiapkan pada 1984 dengan kos RM1.2 juta.
“Bumbung perlindungan (patung) turut dibina bagi mengurangkan risiko hakisan cuaca. Di bahagian belakangnya terdapat patung Buddha berdiri dan duduk serta 800 ruang simpanan abu penganut yang memudahkan waris untuk menziarah dan berdoa,” kata Phrawai.
RAPATKAN HUBUNGAN PENDUDUK, TUMPUAN PELANCONG
Menurutnya, dalam kepercayaan mereka, imej Buddha berbaring melambangkan penghargaan terhadap pengorbanan Gautama Buddha serta mengingatkan penganut kepada ajaran Dhammapada (kitab) yang menekankan kedamaian dan kesederhanaan.
“Ia juga merapatkan hubungan antara penganut kerana wat menjadi medan ibadat, perayaan dan permuafakatan. Nilai murni seperti perpaduan, kemanusiaan dan saling menghormati amat ditekankan,” katanya.
Pembinaan patung berkenaan turut bertujuan mengingatkan masyarakat Buddha agar sentiasa berpegang pada ajaran, bukan sekadar ritual.
pic-3
Wat Photivihan menjadi pusat perayaan masyarakat Siam dan Buddha, khususnya ketika Songkran atau Pesta Air setiap April.
“Songkran disambut dengan upacara memohon maaf kepada ibu bapa, guru dan orang tua, disusuli mandi simbolik sebagai lambang penyucian yang biasanya disertai lebih 500 orang setiap tahun, termasuk pelancong,” katanya.
Wat itu turut menjalankan kelas agama dan bahasa Thai secara percuma untuk generasi muda melalui tenaga sukarelawan.
Menurutnya, Wat Photivihan menerima purata 20,000 pelawat setahun merangkumi pelancong tempatan, rombongan sekolah serta pelawat asing, antaranya dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Tenggara.
“Jumaat hingga Ahad paling sibuk. Ramai datang untuk mengambil gambar, mempelajari budaya Siam atau melawat kompleks bersejarah ini,” kata Phrawai.
Di depan wat itu yang dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 7 malam, deretan gerai yang diusahakan oleh penduduk setempat menawarkan hidangan tradisional Siam dengan air kelapa sebagai pelengkap.
SIMBOL KEHARMONIAN AGAMA DI KELANTAN
Bagi Phrawai, kewujudan wat di negeri majoriti penduduk Islam membuktikan sikap toleransi rakyat di negara ini.
“Orang Islam, Cina, Siam semua datang sini. Kalau ada banjir atau gotong-royong, semua bantu. Tak ada beza,” katanya.
Keadaan itu turut diakui Hamzah Yusoff, 73, yang tinggal di Kampung Ana bersebelahan Kampung Jambu.
“Kami sudah biasa dengan upacara mereka. Malah kalau pelancong sesat, orang kampung sendiri tunjuk jalan,” katanya.
pic-4
Che Hasim Yaacob, 67, pula berkata patung Sleeping Buddha sudah lama menjadi sebahagian identiti daerah itu dan diterima baik oleh semua penduduk tanpa mengira agama.
“Kami hormat tempat ibadat mereka, mereka pun hormat kita. Yang penting ia jadi tarikan pelancongan yang membantu menjana ekonomi kami,” katanya.
Penghulu Tanpa Mukim Kampung Jambu, Chua Nancy yang mewakili masyarakat Siam, berkata kewujudan Sleeping Buddha di kampung itu memberi sinar baharu kepada penduduk apabila menjadi antara lokasi tarikan pelancongan utama di kawasan berkenaan.
Menurutnya setiap kali berlangsung majlis rasmi atau program berskala besar, komuniti setempat akan bergotong-royong menyediakan makanan dan kemudahan untuk pelawat yang datang dari dalam dan luar daerah.
“Apabila ada majlis sebegitu, biasanya penduduk yang tinggal berdekatan turut membantu mengurus tempat letak kereta, menjaga keselamatan dan memastikan laluan pelancong teratur,” katanya.
Beliau berkata wat itu juga membuka ruang untuk komuniti Siam di Malaysia memupuk pemahaman tentang budaya dan kepercayaan mereka dalam kalangan masyarakat lain
HARAPAN KEKAL WARISAN BUDAYA KELANTAN
Phrawai berharap wat tersebut terus dipelihara sebagai warisan budaya Kelantan dan produk pelancongan spiritual Malaysia.
“Yang penting semua kaum bersatu. Kalau ada masalah, kita selesaikan bersama-sama,” katanya.
Baginya, Wat Photivihan bukan sekadar rumah ibadat tetapi mercu tanda hubungan antara agama yang dipupuk sejak ratusan tahun.
“Keharmonian ini bukan dibina melalui slogan, tetapi melalui pengalaman sebenar saling menghormati, gotong-royong dan kesediaan memahami budaya masing-masing. Inilah keunikan Tumpat dan Kelantan,” katanya.
POTENSI SLEEPING BUDDHA SEBAGAI TARIKAN PELANCONG
Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan, Mohd Azwan Ab Rahman berkata nilai Sleeping Buddha sebagai produk pelancongan boleh dipertingkatkan lagi menerusi kerjasama yang lebih tersusun.
“Terdapat potensi besar untuk mewujudkan ‘Buddhist Cultural Route’ di daerah ini, selain memperkukuh pelancongan mesra Muslim melalui penyelarasan wat utama di Tumpat, Bachok dan Pasir Mas sebagai satu jaringan produk pelancongan bersepadu.
“Kita ada kelebihan strategik untuk mengangkat Sleeping Buddha sebagai ikon pelancongan antarabangsa,” katanya.
Bagaimanapun katanya langkah itu perlu dibuat secara berhemah dengan menekankan nilai warisan dan toleransi budaya serta tidak bercanggah dengan dasar Membangun Bersama Islam.
“Sleeping Buddha juga adalah warisan budaya yang harus dipelihara bagi memastikan kelangsungannya,” katanya.
