EKONOMI

AMANAH BESAR PIMPIN MITI HARUNGI CABARAN EKONOMI GLOBAL - JOHARI ABDUL GHANI

16/12/2025 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan pelantikan untuk menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai satu amanah yang besar.

Beliau berkata ini memandangkan negara sedang menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan serta perkembangan teknologi yang pesat.

"MITI memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan senarai rombakan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI dengan Johari bertukar portfolio daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi yang diteraju beliau.

Kekosongan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri susulan tempoh perkhidmatan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Senator dan Ahli Dewan Negara berakhir pada 2 Disember lepas.

Timbalan Menteri MITI akan disandang oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang juga muka baharu dalam senarai Kabinet Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan