KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Masyarakat India di Malaysia menerima tambahan seorang lagi menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan MADANI susulan pelantikan Datuk Seri R. Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia dalam rombakan Kabinet, hari ini.
Pelantikan Ramanan itu menjadikan komuniti India kini diwakili dua menteri penuh dalam Jemaah Menteri termasuk Menteri Digital Gobind Singh Deo yang dikekalkan.
Ramanan menggantikan Steven Sim Chee Keong yang bertukar portfolio untuk menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Selain itu, Ahli Parlimen Segamat R.Yuneswaran dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara menggantikan Senator Saraswathy Kandasami, manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran dikekalkan.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara sebelum ini kembali menganggotai Jemaah Menteri apabila dilantik sebagai Menteri Digital dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan pada Disember 2023.
Ramanan, 44, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sejak Disember 2023.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-15 apabila menewaskan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan majoriti 2,693 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.
Dilahirkan pada 11 Feb 1981, Ramanan ialah cucu kepada Tan Sri Devaki Krishnan, tokoh politik kaum India yang disegani dan wanita pertama memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka selepas dipilih sebagai ahli Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.
Perkembangan semasa ini turut mengingatkan kepada era pentadbiran terdahulu apabila masyarakat India pernah diwakili dua menteri penuh.
Ketika itu, MIC mempunyai dua menteri penuh, iaitu mendiang Datuk Seri G. Palanivel sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, serta Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan.
-- BERNAMA
