POLITIK

GRS KEMUNGKINAN BESAR TIDAK TANDING PRK DUN LAMAG, PARLIMEN KINABATANGAN - HAJIJI

16/12/2025 08:11 PM

KOTA KINABALU, 16 Dis (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan besar tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang dijadual berlangsung pada 24 Jan tahun hadapan.

Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata GRS secara prinsip memberikan laluan dan penghormatan, terutama kepada Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang menang di kawasan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, pada 29 Nov lepas. 

“Kita akan bagi penghormatan kepada parti yang menang. Kebetulan ia dalam kerajaan negeri sekarang ini.

“Kita akan beri laluan dan akan bantu mereka untuk memenangi Pilihan Raya Kecil itu,” katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN Sabah, di sini hari ini.

Ditanya apakah keputusan itu melibatkan kedua-dua kawasan DUN dan Parlimen itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi memuktamadkan perkara berkenaan.

Beliau berkata ini termasuk mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi GRS, selain Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tetapi tidak menyatakan bilakah perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan.

“Itulah yang kita mahu bincang. Tetapi prinsipnya kita akan bagi laluanlah,” kata beliau.

Terdahulu, Bernama melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin akan mengadakan rundingan dengan GRS berhubung PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Jafry berkata perbincangan itu penting memandangkan UMNO adalah sebahagian daripada parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Sabah bersama-sama dengan GRS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag masing-masing pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon pada 10 Jan dan pengundian awal pada 20 Jan.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan