AM

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN NEGARA: 17 DIS

17/12/2025 02:10 PM

 

459 JURURAWAT PSL AKAN DITEMPATKAN DI SABAH

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Sebanyak 459 jururawat yang dilantik menerusi Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) akan ditempatkan di Sabah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di negeri itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata jumlah itu adalah daripada 3,254 jururawatn lantikan tetap graduan PSL.

“Selain itu, untuk meningkatkan bilangan jururawat Kementerian Kesihatan (KKM), kita mengubahkan dari segi kontrak ke pekerjaan tetap, kenaikan pangkat dan juga keluaran graduan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Edward Linggu Bukut mengenai usaha KKM dalam masa terdekat untuk menutup jurang perkhidmatan kesihatan antara Sabah dan Semenanjung khususnya di kawasan pedalaman.

-- BERNAMA

 

KERAJAAN TIDAK BOLEH LALAI SOAL SEKURITI MAKANAN - MOHAMAD 

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kedudukan Malaysia yang berada pada tahap sederhana dalam aspek sekuriti makanan tidak boleh menyebabkan kerajaan lalai, sebaliknya perlu terus bersiap siaga melaksanakan pelbagai strategi terutama selepas mengambil kira kesan perubahan iklim termasuk banjir besar di Sumatera, Indonesia baru-baru ini.

 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perubahan iklim kini semakin serius dan berlaku secara tidak menentu sekali gus berpotensi menjejaskan pengeluaran serta bekalan makanan negara.

Beliau berkata dari segi kedudukan antarabangsa, Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan negara ASEAN, kelapan di Asia Pasifik dan ke-41 daripada lebih 130 negara di dunia dalam aspek sekuriti makanan.

“Kedudukan ini menunjukkan tahap sederhana dan tidak terlalu cemas tetapi kita tidak boleh lalai. Sebab itu, kerajaan sentiasa membuat intervensi dan kerana ia penting, peruntukan kepada kementerian pun bertambah setiap tahun,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk C. Sivaraj yang ingin tahu sama ada kerajaan telah menilai secara holistik struktur pertanian negara bagi memastikan ia benar-benar mampu bertahan dalam krisis global yang berpanjangan.

-- BERNAMA 

 

PEMBANGUNAN TERUSAN WAN MAT SAMAN TERTAKLUK KELULUSAN KPKM, KERAJAAN NEGERI - TIONG 

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Sebarang hasrat untuk membangunkan Terusan Wan Mat Saman di Kedah sebagai destinasi pelancongan utama tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta kerajaan negeri, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata kawasan terusan berkenaan berada di bawah bidang kuasa KPKM menerusi agensinya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), justeru Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak boleh melaksanakan sebarang pembangunan tanpa kelulusan pihak berkaitan.

“Untuk membangunkan kawasan Terusan Wan Mat Saman adalah di bawah kementerian lain iaitu KPKM. Kita mesti mendapatkan kelulusan terutama sekali kerajaan negeri. Kalau belum dapat kelulusan, MOTAC tidak boleh buat apa-apa,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat membangunkan kawasan terusan itu sebagai destinasi pelancongan utama sempena  sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. 

-- BERNAMA 

 

MOT TUBUH JAWATANKUASA TEKNIKAL PERHALUSI 26 TUNTUTAN PEMAIN INDUSTRI PENGANGKUTAN

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bagi memperhalusi tuntutan dikemukakan pemain industri pengangkutan darat, termasuk 26 tuntutan oleh gabungan persatuan pemandu lori, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata memorandum berkenaan telah diterima kementerian dan kini sedang diteliti secara terperinci melalui jawatankuasa teknikal berat dengan muatan yang ditubuhkan khusus bagi menilai setiap tuntutan serta implikasinya terhadap dasar, keselamatan jalan raya dan industri pengangkutan negara.

“Dalam masa sama, kita sedang merangka garis panduan yang jelas serta boleh diguna pakai di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Garis panduan berkenaan turut memerlukan penyelarasan dan pengemaskinian oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak bagi memastikan keseragaman dasar di seluruh negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Hasbi menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu kata putus dicapai MOT berhubung 26 memorandum tuntutan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori SeMalaysia dan Persatuan Pemandu-Pemandu Lori SeMalaysia mengenai penguatkuasaan terhadap muatan berlebihan, had masa operasi serta pematuhan audit keselamatan kenderaan berat, bulan lepas.

Beliau berkata hasil penelitian jawatankuasa teknikal itu telah dikemukakan ke peringkat tertinggi kementerian untuk pertimbangan lanjut namun keputusan muktamad berhubung tuntutan berkenaan masih belum dibuat.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan