JOHOR BAHRU, 17 Dis (Bernama) -- Beberapa pemimpin negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat di Johor, hari ini membuat laporan polis berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan dan visual bersifat melampau, provokatif serta menghina Institusi Diraja Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin berkata laporan polis itu, dibuat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Khairin-Nisa Ismail @ Md On.
Beliau berkata hantaran berkenaan yang menggunakan nama Fahmi Reza bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor, malah berpotensi mencetuskan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung.
“Perbuatan sedemikian jelas mencabar prinsip kedaulatan Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan boleh mengganggu keharmonian awam, keselamatan serta kestabilan sosial.
“Kesemua laporan polis ini dibuat berhubung kenyataan oleh Fahmi Reza yang dilihat bersifat menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan Institusi Diraja Johor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Aznan menegaskan bahawa Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak utama perpaduan, kestabilan dan kelangsungan negara, dan sebarang cubaan untuk merendahkan atau memprovokasi sentimen rakyat terhadap institusi tersebut, sama sekali tidak boleh diterima.
Beliau berkata laporan polis berkenaan dibuat melibatkan pelbagai NGO dan persatuan belia negeri serta daerah, Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor serta ketua-ketua UMNO bahagian bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan yang segera, telus dan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Hasutan 1948 dan undang-undang berkaitan.
Semalam, tular di laman sosial Facebook satu hantaran oleh individu bernama Fahmi Reza yang dikatakan menyentuh Institusi Diraja Johor dengan kandungan berbunyi, “Apa masalah TMJ ini sebenarnya? Kenapa nampak seolah-olah dia boleh bertindak sesuka hati dan buat apa sahaja yang dia suka tanpa sebarang had, sempadan atau akauntabiliti yang jelas, tanpa batasan undang-undang?”.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang mengecam tindakan individu berkenaan.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat oleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut kenyataan itu, setakat ini PDRM Johor tidak mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu tersebut.
-- BERNAMA
