Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Portugal muncul sebagai pintu masuk strategik bagi Malaysia untuk meneroka pasaran Kesatuan Eropah (EU), menawarkan kepakaran dalam tenaga boleh baharu, pembuatan, logistik maritim dan perkongsian teknologi, kata Duta Malaysia ke Portugal Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.
Beliau berkata Malaysia melihat Portugal bukan sekadar sebagai rakan dagangan dua hala tetapi pintu masuk yang stabil ke pasaran EU yang lebih luas, memandangkan ketika ini Kuala Lumpur sedang meningkatkan usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan Eropah, susulan inisiatif untuk menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Malaysia.
“Portugal telah menjadi rakan kongsi strategik dan semakin relevan kepada Malaysia,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Eldeen yang juga Duta Malaysia ke Perancis, Monaco dan Andorra, mengadakan lawatan kerja ke Portugal bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara Malaysia dan Portugal.
Beliau berkata kekuatan Portugal dalam tenaga boleh baharu (TBB), termasuk solar, angin dan hidrogen hijau adalah sejajar dengan cita-cita peralihan tenaga Malaysia, mewujudkan peluang segera bagi pemindahan tenaga, usaha sama dan kerjasama pelaburan.
Katanya, kedudukan geografinya dan pelabuhan Portugal di kawasan Atlantik bertindak sebagai laluan ke Amerika dan Afrika, yang melengkapi peranan Malaysia sebagai hab maritim dan logistik utama ASEAN serta membuka peluang kepada koridor perdagangan global yang baharu.
“Perbincangan ini tepat pada masanya dan sejajar dengan strategi Malaysia yang lebih meluas untuk meningkatkan hubungan dengan seluruh negara di EU, termasuk menerusi platform peringkat tertinggi seperti Sidang Kemuncak Perdagangan ASEAN-EU 2025 di Kuala Lumpur,” katanya.
Kehadiran Malaysia di Portugal, cadangan inisiatif
Eldeen yang berpangkalan di Paris berkata lima syarikat Malaysia sedang beroperasi atau terlibat dalam usaha sama dengan rangka kongsi masing-masing di Portugal.
Walaupun tiada rekod rasmi mengenai firma Malaysia yang berpangkalan di Paris, terlibat aktif menjalankan perniagaan di Portugal, beliau percaya terdapat potensi yang kukuh dalam sektor itu, khususnya dalam perkhidmatan, tekstil, TBB, industri halal dan pelancongan.
“Inilah peranan yang dimainkan oleh pejabat perdagangan kami, iaitu bekerjasama dengan kedutaan bagi memudahkan hubungan ini,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia bersedia untuk memberi galakan dan sokongan kepada syarikat yang ingin meneroka pasaran Portugal dan negara lain di Eropah.
Pada pertemuan itu, Elden juga berkata beberapa inisiatif sudah dicadangkan, termasuk menganjurkan seminar ‘Perniagaan dan Pelaburan Portugal’ di Kuala Lumpur dan menyelaraskan misi perdagangan dan pelaburan Portugal ke hab perindustrian di Malaysia seperti Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Melaka pada 2026.
Beliau turut mencadangkan untuk mewujudkan saluran langsung antara Gabungan Perniagaan Portugal dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia.
Peluang pelaburan yang menarik
Selain itu, Eldeen berkata pemain industri di Portugal menyatakan minat yang mendalam terhadap sektor yang memberi manfaat bersama, terutamanya teknologi dan tenaga hijau, teknologi dan ekonomi digital, serta hospitaliti dan pelancongan.
Pengalaman Portugal dalam TBB, pembangunan perisian, keselamatan siber dan pengurusan pelancongan dapat melengkapi infrastruktur digital Malaysia yang semakin berkembang pesat dapat melengkapi infrastruktur digital Malaysia, pangkalan pembuatan elektrik dan membangunkan segmen mewah serta eko-pelancongan.
Minat sektoral yang kukuh daripada firma Portugal
Buat masa ini, Eldeen berkata sejumlah besar syarikat dan individu di Portugal telah menghubungi pegawai Malaysia pada lawatan itu, sekali gus mencerminkan minat yang tinggi terhadap Malaysia sebagai hab Asia Tenggara yang stabil di tengah-tengah kepelbagaian rantaian bekalan global.
Sektor yang paling menarik perhatian termasuk elektrik dan elektronik, khususnya semikonduktor, aeroangkasa, termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, serta pembuatan komponen, penyelesaian digital dan industri 4.0, dan makanan dan minuman, disokong oleh kedudukan Malaysia sebagai hab halal serta pengeluar bahan makanan berkualiti tinggi.
“Kita mempunyai kelebihan kerana tidak banyak negara ASEAN lain yang terlibat secara aktif dan langsung dengan komuniti perniagaan di Portugal,” katanya.
Menetapkan kedudukan cadangan nilai Malaysia
Eldeen berkata Malaysia menekankan komitmennya untuk menjadi ekonomi bernilai tinggi dan diterajui inovasi, yang berpaksikan pelan strategik negara, terutamanya Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Aspirasi Pelaburan Negara.
Bukan itu sahaja, beliau berkata Malaysia menekankan kelebihan daya saingnya, termasuk infrastruktur yang mantap, kestabilan politik, tenaga kerja mahir dan lokasi strategik dalam ASEAN, serta dasar-dasar pemudah cara seperti ‘Pas Pelabur Malaysia’ untuk memudahkan pemastautin jangka panjang bagi pelabur asing strategik.
Sementara itu, mengambil peluang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, beliau berkata negara ini sedang memperjuangkan integrasi serantau, transformasi digital dan pertumbuhan mampan, sekali gus menjadikannya sebagai pintu masuk dan hab ideal bagi syarikat Portugal yang mencari akses kepada pasaran ASEAN.
Dagangan pulih melebihi paras pra-pandemik
Mengenai perdagangan dua hala, jumlah dagangan antara Malaysia dan Portugal mencecah 145.7 juta euro (1 euro = RM4.78) pada 2024, terdiri daripada 100.1 juta euro dalam eksport Malaysia dan 45.6 juta euro dalam import dari Portugal.
Walaupun jumlah dagangan merosot antara 2020 dan 2021 berikutan gangguan berkaitan pandemik, Eldeen berkata kedua-dua eksport dan import telah kembali stabil sejak itu, dengan angka pada 2024, melebihi paras sebelum COVID-19.
Eksport Malaysia ke Portugal telah meningkat terutamanya dalam getah asli, produk besi dan keluli, serta makanan yang diproses, dengan bahan binaan dan teknologi TBB dikenal pasti sebagai bidang yang berpotensi untuk terus berkembang.
Import dari Portugal telah meningkat dalam tekstil, pakaian dan kasut, mesin dan peralatan, bahan kimia, pembuatan logam dan makanan yang diproses.
-- BERNAMA
