GUA MUSANG, 17 Dis (Bernama) -- Sebanyak 278 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 1,093 masyarakat Orang Asli dari lima buah kampung di daerah itu, terjejas akibat banjir yang melanda kawasan berkenaan sejak Ahad.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed berkata kampung terlibat ialah Kampung Pasir Linggi, Kampung Machang, Kampung Kuala Koh, Kampung Aring 5 dan Kampung Bering Lama, membabitkan penduduk daripada suku kaum Temiar, Bateq dan Mendriq.
Beliau berkata setakat ini, Kampung Aring 5 mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 83 KIR melibatkan 343 orang, diikuti Kampung Kuala Koh dengan 58 KIR (221 penduduk), Kampung Machang 55 KIR (187 penduduk), Kampung Pasir Linggi 51 KIR (206 penduduk) dan Kampung Bering Lama 31 KIR melibatkan 136 penduduk.
“Secara keseluruhan, lima kampung terjejas akibat banjir dengan keadaan dipantau rapi oleh JAKOA bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya kepada pemberita di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini hari ini.
Mohd Faedyzal turut menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa, selain segera menghubungi JAKOA sekiranya berlaku kecemasan sepanjang tempoh bencana.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Lebir Jamlus Musa berkata kira-kira 20 pelajar, terpaksa menggunakan perahu untuk menyeberangi kawasan banjir bagi ke Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi sejak Ahad.
Beliau berkata jalan utama ke kampung berkenaan mula ditenggelami air sejak 14 Dis, dengan paras air mencecah dada, namun keadaan air didapati semakin surut sejak semalam.
“Sepanjang tempoh banjir, penduduk menggunakan sebuah perahu dan dua rakit buluh untuk bergerak melakukan aktiviti harian,” katanya.
Pada Isnin, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan amaran banjir di lima jajahan di Kelantan sehingga Jumaat ini, susulan jangkaan hujan berterusan tahap buruk yang akan menyebabkan paras sungai meningkat sehingga melebihi paras bahaya.
Jajahan yang terlibat ialah Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Golok.
-- BERNAMA
