Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini disokong oleh peningkatan di pasaran niaga hadapan getah serantau serta kenaikan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat dipacu pengukuhan harga minyak mentah dan unjuran terhadap bekalan yang semakin terhad.
Sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap jangkaan penurunan bekalan getah di Thailand dan Indonesia.
“Pertumbuhan bekalan getah dijangka kekal rendah tahun hadapan berikutan penanaman baharu yang terhad di Thailand dan negara pengeluar utama lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Selain itu, peralihan Indonesia daripada penanaman getah kepada tanaman bernilai tambah lebih tinggi seperti kelapa sawit dan durian dijangka menyebabkan penurunan pengeluaran yang tidak dapat dielakkan di negara pengeluar getah kedua terbesar di dunia itu,” katanya kepada Bernama.
Ketika ini, harga minyak mentah Brent meningkat 2.21 peratus kepada US$60.22 setong.
Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh peningkatan ketidaktentuan terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata beliau.
“Pertumbuhan aktiviti perniagaan AS perlahan pada Disember ke paras terendah sejak Jun, dengan tempahan baharu merosot bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan, sekali gus mencerminkan ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun ini,” katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 meningkat 10.5 sen kepada 734 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 2.5 sen kepada 579 sen sekilogram.
-- BERNAMA
