IPOH, 18 Dis (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memperkenankan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bekerjasama dengan Jabatan Penjara negeri itu bagi merintis usaha membantu bekas banduan.
Baginda menitahkan untuk Jabatan Mufti mengkaji sama ada bekas banduan tergolong dalam mana-mana golongan asnaf yang layak diberikan bantuan daripada dana zakat bagi memulakan kehidupan baharu.
“Beta telah menitahkan MAIPk memikirkan dana membiayai banduan yang dibebaskan untuk dibantu mengikuti program latihan kemahiran yang sesuai agar mereka dapat segera memulakan hidup yang produktif selepas menjalani hukuman penjara.
“Banduan ini telah melalui pengalaman ditangkap pihak polis, perbicaraan di mahkamah, dan tahanan oleh jabatan penjara,” titah baginda ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan anggota MAIPk, Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sultan Nazrin bertitah perlunya ada entiti atau badan yang memberikan perhatian kepada bekas banduan dan MAIPK boleh berperanan konstruktif untuk membantu golongan tersebut memulakan hidup baharu.
Sementara itu, baginda turut bertitah MAIPk telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara Negeri Perak bagi merintis program pembangunan ummah melalui pengenalan “Model Koreksional Islamik” berimpak tinggi di Pusat Koreksional Batu Gajah dan di Penjara Tapah, yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Bermula Januari 2025, akademi tahfiz diwujudkan di Pusat Koreksional Wanita Batu Gajah dan mendapat sambutan tujuh peserta dengan seorang daripadanya telah pun berjaya menghafal enam juzuk al-Quran.
“Mulai Februari 2025 pula, program hafazan al-Quran telah diperkenalkan di Penjara Tapah yang disertai 18 prospek dan ada antara mereka yang telah berjaya menghafal tiga juzuk al-Quran,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin, program di dua pusat penjara itu dibiayai dana wakaf dan zakat melibatkan penyediaan kelengkapan dankemudahan pembelajaran serta tenaga pengajar, di samping pembiayaan aktiviti kebajikan dalam usaha pemulihan menyeluruh dari sudut jasmani, emosi, akal dan akhlak.
-- BERNAMA
