KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 (Akta 244) memberikan kuasa kepada perbadanan itu untuk menubuhkan syarikat, hanya bagi tujuan mengurus aset, prasarana, latihan dan penyelidikan industri perfileman, tanpa terlibat dalam penghasilan atau pengedaran filem.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peruntukan berkenaan diperincikan dengan jelas dan secara "hitam putih" dalam akta itu melalui Seksyen 61F, 62B, 62C dan 62H, yang mengehadkan skop aktiviti syarikat terbabit kepada pengurusan serta penyelenggaraan kemudahan milik FINAS, pelaksanaan latihan, penyediaan perkhidmatan dan peralatan perfileman serta aktiviti penyelidikan berkaitan dengan kemajuan industri.
"Syarikat yang dimaksudkan hanya bagi tujuan empat perkara ini, bukan untuk menghasilkan atau mengedar filem dan tidak akan bersaing dengan pemain industri. Hal ini bukan menteri yang cakap, tetapi ada dalam akta yang kita bawa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang FINAS (Pindaan) 2025 yang kemudiannya diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahaskan oleh lapan senator di Dewan Negara hari ini.
Fahmi berkata keperluan itu timbul susulan penerimaan prasarana baharu FINAS, termasuk kemudahan pascaproduksi bertaraf tinggi seperti suite suntingan Dolby Atmos di ibu pejabat FINAS di Ulu Klang, yang memerlukan kos penyelenggaraan serta pengurusan profesional.
"Maka, sekiranya FINAS diberi kuasa untuk menubuhkan sebuah syarikat, maka tujuannya adalah untuk menjaga aset-aset bagi tujuan latihan dan pelaksanaan kerja-kerja dalam bidang perfileman," katanya.
Beliau turut memaklumkan usaha meminda Akta FINAS mengambil masa kerana melibatkan penambahbaikan struktur dalaman perbadanan itu, termasuk pelantikan penasihat undang-undang yang sebelum ini tidak wujud, selain penglibatan peguam-peguam muda dalam penyediaan draf pindaan akta.
Dalam pada itu, Fahmi juga menegaskan pindaan terbabit akan memberikan keyakinan kepada penggiat industri untuk bersama-sama berkarya dengan FINAS.
"Kita harap usaha ini akan mendekatkan lagi organisasi FINAS dengan pembikin filem supaya FINAS dapat mendepani zaman dan bersedia membantu industri filem kita untuk terus gah ke seantero dunia," katanya.
Mengulas isu takrifan lapuk dalam akta, Fahmi berkata beberapa istilah masih perlu dikekalkan bagi tujuan pengarkiban dan penyimpanan filem lama, selaras dengan fungsi arkib filem negara yang telah diserap ke dalam FINAS.
Berhubung penapisan filem, beliau berkata Lembaga Penapisan Filem (LPF) berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, namun kerajaan bersedia meneliti keperluan penjelasan lanjut melalui perbincangan antara FINAS dengan LPF, termasuk mengambil kira maklum balas pembikin filem serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan bagi membantu proses penilaian.
Fahmi turut menegaskan kerajaan tidak berhasrat mengenakan pelesenan terhadap pempengaruh atau penghasilan audio siar, memandangkan bentuk penyampaian kandungan sentiasa berubah, manakala perincian aktiviti perfileman yang memerlukan pelesenan akan diperjelas melalui peraturan dan senarai putih selepas pindaan akta berkuat kuasa.
Menyentuh skim wajib tayang, beliau berkata prestasi industri menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 68 filem ditayangkan hingga 17 Dis 2025, berbanding 50 filem pada 2018, dengan kutipan melebihi RM197 juta, mengatasi pencapaian 2022.
Bagaimanapun katanya, kementerian dan FINAS mengambil maklum pandangan pembikin filem berhubung kelemahan pelaksanaan skim itu, termasuk isu waktu tayangan, yang sedang diteliti untuk penambahbaikan.
-- BERNAMA
