AM

DANA INOVASI MEDIA FASA 1 DIBUKA MULAI 1 HINGGA 14 JAN - FAHMI

18/12/2025 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Dana Inovasi Media bagi Fasa 1 akan dibuka bermula dari 1 hingga 14 Jan 2026, bertujuan menyokong transformasi industri media negara agar kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era digital.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dana itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 berhubung pemberian bantuan dana berjumlah RM30 juta.

“Dana ini menyasarkan untuk menggalakkan penghasilan kandungan media yang kreatif, interaktif, dan berimpak tinggi, memperkasakan kompetensi pengamal media melalui latihan.

“Selain itu, ia bagi menyokong transformasi industri media melalui pembangunan projek inovatif merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital serta memperkukuh daya saing organisasi media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, relevan dan bermanfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media mingguan di Angkasapuri, hari ini.

Fahmi berkata maklumat lanjut dan borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman web www.komunikasi.gov.my mulai 1 Jan 2026.

Bagi memastikan penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan berkesan, Fahmi berkata syarat kelayakan pemohon yang ditetapkan merangkumi syarikat atau organisasi media tempatan.

Pemohon juga mestilah berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta petugas merupakan pemegang Kad Perakuan Media yang aktif.

Menurut Fahmi, Dana Inovasi Media merangkumi empat skop utama, iaitu latihan kepada pekerja media dengan syarikat atau organisasi boleh memilih untuk penganjuran latihan dalaman, atau penghantaran pekerja media untuk mengikuti kursus dan latihan yang dianjurkan pihak luar, atau kedua-dua pilihan berkenaan.

Skop kedua melibatkan perisian serta adaptasi teknologi dan dana ini boleh dimanfaatkan untuk pembelian atau sewaan perisian yang diperakukan bagi penghasilan kandungan berkualiti tinggi selaras dengan perkembangan pesat teknologi media pada peringkat global.

Skop ketiga merangkumi peralatan, perkakasan dan kemudahan sokongan, dengan dana itu boleh dimanfaatkan bagi pembelian atau sewaan peralatan teknikal termasuk perkakasan, peralatan studio dan peralatan rakaman yang menyokong penghasilan kandungan berkualiti tinggi.

Skop keempat pula ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D) penghasilan kandungan, dengan dana itu menyokong aktiviti R&D termasuk adaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital terkini.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau akan mengemukakan pandangan serta syor Perdana Menteri kepada Majlis Media Malaysia (MMM) berhubung peranan badan itu dalam memperkukuh dan memajukan industri media negara.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja untuk memastikan industri media kekal bebas, berdaya saing dan mampan, tetapi juga dapat mengatasi isu termasuk ekonomi yang melanda sektor media.

“Insya-Allah, dalam minggu pertama atau selewat-lewatnya minggu kedua bulan Januari saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak Majlis Media dan setakat ini, saya belum dimaklumkan sama ada ahli-ahli lembaga telah memilih seorang pengerusi ataupun tidak.

“ … tetapi ada beberapa aspek termasuk penyaluran dana, pejabat, aspek-aspek administratif yang saya rasa perlu diuruskan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri pada Taklimat Bersama dengan Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa berkata MMM boleh memainkan peranan sebagai penasihat kerajaan dalam usaha memperkukuh kebebasan media, termasuk mengenal pasti undang-undang atau peruntukan yang mungkin menyekat kebebasan media.

Menurut Anwar, MMM perlu menetapkan garis panduan yang jelas tentang kebebasan media serta mencadangkan batasan yang wajar, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan