KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Gamuda Bhd memperoleh dua lagi kontrak di Australia menerusi anak syarikat milik penuhnya, menjadikan nilai perolehan kontrak dalam tangan kumpulan itu mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM46 bilion.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata Gamuda Engineering telah dilantik untuk membangunkan Pakej Stesen Barat-Sydney Metro West bernilai A$2.7 bilion (kira-kira RM7.32 bilion).
“Pakej Stesen Barat-Sydney Metro West ini termasuk reka bentuk dan pembinaan lima stesen metro di sepanjang jajaran Sydney Metro West iaitu Westmead, North Strathfield, Burwood North, Five Dock dan The Bays.
“Skop pakej juga termasuk pembinaan struktur stesen, pintu masuk dan pusat akses, pemasangan stesen dan infrastruktur berkaitan serta penyepaduan pengangkutan,” katanya.
Kontrak itu menjadikan ia projek tunggal terbesar yang berjaya diperoleh Gamuda di Australia setakat ini dan kontrak Sydney Metro yang kedua, selepas memperoleh kontrak Pakej Terowong Barat bernilai A$2.16 bilion (RM6.5 bilion) pada 2022.
Menurut kumpulan itu, perancangan dan reka bentuk terperinci dijangka bermula pada Januari 2026, dengan pembinaan utama bermula pada akhir 2026 atau awal 2027, dan dijangka siap pada 2031.
Dalam pada itu, DT Infrastructure Pty Ltd yang juga anak syarikat milik penuh Gamuda di Australia berjaya memperoleh kontrak baki loji (BOP) bagi projek Ladang Angin Carmody’s Hill di wilayah utara tengah Australia Selatan, bernilai A$265 juta (RM718 juta).
Pada Rabu, kumpulan itu mengumumkan Marinus Link Pty Ltd menganugerahkan kontrak baki kerja (BOW) - Marinus Link Stage 1 kepada TasVic Greenlink, sebuah usaha sama (JV) 50-50 antara DT Infrastructure dan Samsung C&T Corporation.
Gamuda berkata kedua-dua projek baharu itu akan terus mengukuhkan kapasiti penjanaan tenaganya yang semakin berkembang di Australia, yang setakat ini merangkumi Ladang Solar Sungai Goulburn 585 megawatt (MWp) dan Ladang Angin Boulder Creek 228 MW.
“Projek Marinus Link ialah cadangan penyambungan elektrik bawah laut dan bawah tanah serta data antara Tasmania dan Victoria yang akan meningkatkan keselamatan tenaga, menggalakkan pelaburan tenaga boleh baharu, sekali gus memberi faedah ketara kepada pengguna di pasaran elektrik negara Australia.
“Kedua-dua projek Marinus Link Stage 1 dan Ladang Angin Carmody’s Hill dijadualkan bermula pada awal 2026, dengan tempoh kontrak masing-masing selama lima tahun dan 28 bulan,” tambahnya.
-- BERNAMA
