KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- United Malacca Bhd (UMCCA) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM55.37 juta pada suku kedua berakhir 31 Okt 2025 daripada RM30.92 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
UMCCA dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan bagi suku berkenaan meningkat kepada RM240.46 juta daripada RM183.44 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut kumpulan itu, operasinya di Malaysia mencatat keuntungan perladangan sebanyak RM55.5 juta, dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM66.4 juta daripada RM47.9 juta tahun lepas.
EBITDA yang lebih tinggi pada suku semasa disumbangkan oleh pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang tinggi, harga purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang turut meningkat serta kos pengeluaran seunit yang lebih rendah.
Pengeluarannya di Indonesia mencatat keuntungan perladangan sebanyak RM15.0 juta dengan EBITDA RM19.1 juta, mewakili peningkatan 120 peratus berbanding RM8.7 juta tahun lepas, khususnya disebabkan harga purata PK yang lebih tinggi, kos pengeluaran berkurangan dan peningkatan pengeluaran FFB.
Syarikat menjangka pengeluaran FFB meningkat pada tahun kewangan berakhir 30 April 2026 berikutan profil umur tanaman yang lebih baik dan penambahbaikan dalam kecekapan operasi.
“Keutamaan pengurusan kekal tertumpu kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja, inisiatif mekanisasi dan kecekapan kos serta peningkatan hasil minyak.
"Dengan mengunjurkan harga MSM kekal pada paras semasa, kumpulan menjangka prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan 2025," kata UMCCA.
-- BERNAMA
