KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Orang ramai mengambil kesempatan cuaca baik hari ini untuk pulang ke kediaman masing-masing bagi melakukan kerja-kerja pembersihan selepas banjir melanda beberapa kawasan sekitar di daerah ini sejak Isnin lepas.
Pekerja swasta Muhammad Adhar Tarmizi, 30, berkata beliau bersama lima ahli keluarganya kembali ke rumah seawal 8 pagi dari pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mencuci kediaman selepas air banjir surut sepenuhnya semalam.
Beliau berkata pelbagai perabot seperti almari, set meja makan, sofa dan katil rosak akibat kejadian itu manakala barangan elektrik termasuk televisyen, peti sejuk dan mesin basuh belum dapat diuji kerana bekalan elektrik masih belum pulih.
“Kami cuba selamatkan apa yang boleh… banyak perabot yang rosak terpaksa dibuang. Walaupun penat, kami lega sedikit kerana dapat kembali ke rumah selepas hampir tiga hari berada di PPS,” katanya kepada Bernama di Taman Seri Damai di sini hari ini.
Seorang peniaga makanan ringan Syafirudin Ismail, 27, berkata beliau membuat persiapan lebih awal dengan meletakkan barang-barang jualan di tempat lebih selamat, selain meletakkan beberapa penghadang bagi melindungi perabot.
“Perabot-perabot semua dalam keadaan yang baik dan barang jualan saya pun dapat diselamatkan lebih awal, walaupun air masuk begitu cepat ke dalam rumah,” katanya kepada Bernama di perumahan PR1MA Sungai Karang di sini hari ini.
Beliau berkata kejadian banjir itu adalah kali ketiga dalam tempoh empat bulan, namun kali ini hanya setakat paras buku lali dan tidak seteruk banjir bulan November yang mencecah hampir empat kaki.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata jumlah mangsa banjir menunjukkan trend penurunan dan dijangka terus berkurangan dalam beberapa hari lagi sekiranya cuaca kekal baik.
Beliau pada masa sama menasihatkan penduduk yang dibenarkan pulang supaya menilai keadaan rumah masing-masing, termasuk di kawasan kampung atau taman perumahan bagi mengelakkan risiko akibat sisa banjir seperti objek tajam atau kehadiran haiwan berbisa yang mungkin memasuki kediaman.
Beliau berkata pihaknya akan meneruskan operasi mengikut keperluan bagi membantu penduduk terjejas, selain menasihatkan penduduk di daerah berisiko termasuk Temerloh, Maran, Bera dan Pekan supaya berpindah lebih awal sekiranya paras air Sungai Pahang meningkat dan melimpah di kawasan penempatan.
-- BERNAMA
