Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan kenaikan mendadak, melonjak ke paras tertinggi hampir 15 bulan dan melepasi paras yang tinggi sebelum ini pada 1,660.09 pada 27 Sept 2024, berikutan sentimen domestik semakin baik menjelang aliran portfolio akhir tahun.
Pada 15 Disember, indeks petunjuk pasaran itu mencecah paras tertinggi 14 bulan pada 1,643.72, mengatasi paras 1,642.54 pada 22 Okt 2024.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 19.0 mata atau 1.15 peratus kepada 1,665.90 daripada 1,646.90 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks berkenaan dibuka meningkat 1.15 mata kepada 1,648.05 dan bergerak dalam julat antara 1,647.60 hingga 1,668.15 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 627 berbanding 461 manakala 568 kaunter tidak berubah, 1,122 tidak didagangkan dan 16 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.75 bilion unit bernilai RM3.08 bilion daripada 2.47 bilion unit bernilai RM2.29 bilion pada Khamis.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata minat belian kembali beralih kepada saham kewangan permodalan besar, disokong oleh kadar faedah tempatan yang stabil dan pengukuhan ringgit, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai kos pembiayaan jangka pendek.
“Sektor perbankan menerajui kenaikan berikutan harapan terhadap permintaan kredit yang berdaya tahan dan margin yang stabil meningkatkan sentimen pendapatan jangka pendek.
"Kesemua enam komponen perbankan ditutup tinggi, dengan sebahagian daripadanya meningkat lebih tiga peratus, membantu indeks sektor kewangan secara keseluruhannya meningkat 2.10 peratus," katanya kepada Bernama.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata prestasi perdagangan Malaysia bagi November 2025 menunjukkan peningkatan, dengan jumlah perdagangan naik 11.1 peratus tahun ke tahun kepada RM263.8 bilion daripada RM237 bilion.
Menurut DOSM, eksport Malaysia meningkat 7.0 peratus tahun ke tahun kepada RM135.0 bilion pada November 2025, disokong oleh permintaan luar yang lebih kukuh manakala import meningkat 15.8 peratus kepada RM128.9 bilion pada bulan berkenaan.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 14 sen kepada RM10.44, Public Bank meningkat 11 sen kepada RM4.52, CIMB Group menokok 27 sen kepada RM8.15, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM13.36 dan IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM8.52.
Bagi saham paling aktif, Pharmaniaga naik dua sen kepada 28 sen manakala Tanco dan Borneo Oil masing-masing tidak berubah pada RM1.13 dan setengah sen. Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 80.5 sen dan V.S. Industry merosot setengah sen kepada 49 sen.
Antara kaunter paling untung, Fraser & Neave meningkat 72 sen kepada RM36.32, Hong Leong Bank menokok 56 sen kepada RM22.24, Petronas Gas naik 42 sen kepada RM18.08, Nestle menambah 40 sen kepada RM116.30 dan Petronas Dagangan menokok 32 sen kepada RM19.72.
Saham paling rugi pula menyaksikan MBM Resources dan Sunway Construction masing-masing susut 13 sen kepada RM5.12 dan RM5.53. YTL Power rendah 12 sen kepada RM3.35 manakala Sancy dan Master-Pack masing-masing menyusut sembilan sen kepada 29 sen dan RM1.91.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 115.59 mata kepada 12,233.08, Indeks FBM Top 100 melonjak 121.09 mata kepada 12,030.75, Indeks FBM ACE naik 35.89 mata kepada 4,814.88, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 48.46 mata kepada 12,025.70 dan Indeks FBM 70 menambah 97.54 mata kepada 16,813.19.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 406.70 mata kepada 19,561.75, Indeks Perladangan meningkat 56.25 mata kepada 8,291.16, dan Indeks Tenaga menambah 4.11 mata kepada 768.98 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.52 mata kepada 170.39.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.66 bilion unit bernilai RM2.85 bilion daripada 1.33 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 794.27 juta unit bernilai RM99.54 juta berbanding 850.13 juta unit bernilai RM107.87 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 302.31 juta unit bernilai RM128.77 juta berbanding 296.79 juta unit bernilai RM120.85 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 292.41 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (316.16 juta), pembinaan (77.34 juta), teknologi (198.96 juta), perkhidmatan kewangan (113.12 juta), hartanah (167.41 juta), perladangan (37.88 juta), amanah pelaburan hartanah (36.58 juta), dana tertutup (8,500), tenaga (87.59 juta), penjagaan kesihatan (189.08 juta), telekomunikasi dan media (55.21 juta), pengangkutan dan logistik (45.82 juta), utiliti (38.76 juta), dan amanah perniagaan (205,700).
-- BERNAMA
