Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Trio berbasikal trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Mohamad Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Ridwan Sahrom mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas acara pecut berpasukan lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 di Velodrom Hua Mark di sini, hari ini.
Lebih manis, kejayaan menewaskan tuan rumah Thailand pada aksi final itu turut diserikan dengan catatan rekod kebangsaan baharu, 1 minit 0.520 saat (s), sekali gus memadam rekod lama 1:02.077s yang dipegang Datuk Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Muhammad Edrus Md Yunos pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Trio Thailand yang dibarisi Yeaunyong Petcharat, Jai Angsuthasawit dan Norasetthada Bunma terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat perak dengan catatan 1:00.720s.
Mengulas kejayaan itu, Muhammad Fadhil berkata mereka memberi komitmen penuh tanpa sebarang keraguan kerana sedar ia merupakan hari terakhir saingan berbasikal trek pada temasya kali ini.
“Memang kami bagi 100 peratus. Tak ada simpan-simpan sebab kita dah tahu ini hari terakhir untuk acara berbasikal trek. Jadi kami fikir ‘no more’, tak nak ada rasa menyesal.
“Akmal bagi 100 peratus, Ridwan pula ‘deliver’ kelajuan untuk saya dan saya bagi ‘full gas’. Ini ganjaran untuk kami selepas lebih sebulan menjalani kem latihan di Chiang Mai. Dari awal tahun lagi memang persiapan dibuat khusus untuk Sukan SEA,” katanya ketika ditemui selepas final.
Muhammad Fadhil berkata faktor trek terbuka memberi kelebihan kepada Thailand, namun skuad negara tetap mampu menyaingi cabaran itu hasil latihan berterusan di Velodrom Cheras.
“Kita tahu trek terbuka memang kelebihan mereka, tetapi dengan sokongan PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara), kita masih dapat berlatih walaupun ada kekangan.
“Sebagai antara pelumba senior, saya bangga dengan barisan pelumba muda. Keseluruhan pencapaian empat emas dan satu perak memang keputusan yang sangat baik untuk kami,” katanya.
Selain emas diraih trio pecut berpasukan lelaki, kem berbasikal negara turut memenangi emas keirin lelaki menerusi Muhammad Ridwan, scratch wanita (Nur Aisyah Zubir) dan kejar-mengejar berpasukan lelaki diwakili Azim Aliyas, Hafiq Jafri, Yusri Shaari dan New Joe Lau.
Malaysia turut merangkul sebutir perak menerusi Joe Lau dalam acara perlumbaan mata lelaki, sekali gus menutup kempen dengan pencapaian membanggakan apabila mengumpul keseluruhan empat emas dan satu perak.
-- BERNAMA
