KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak 75 keluarga Orang Asli di Kampung Jubau dan Langkap Lama di Muadzam Shah, yang terputus hubungan sejak Isnin lepas berikutan jalan dinaiki air akibat banjir menerima bantuan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata bantuan tersebut merangkumi 75 bungkus makanan kering termasuk beras, minyak masak, gula, kopi, tepung, sardin, biskut dan mi segera serta dua perahu fiber bagi memudahkan pergerakan penduduk di kawasan yang terjejas.
“Saya hadir membawa amanah kasih sayang dan simpati daripada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang diuruskan oleh Pahang Orang Asli Corporation (Oraco),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai infrastruktur dan kemudahan perlu diberi perhatian bagi memberi keselesaan masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit seperti pembinaan jalan yang lebih tinggi, jambatan, tempat tinggal dan pembangunan ekonomi serta pendidikan.
Syed Ibrahim turut merakamkan setinggi penghargaan kepada agensi yang terlibat seperti penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Muadzam, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Agensi Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
-- BERNAMA
